Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco Kedah: Himpunan Skuad Badar mungkin ada agenda lain

Exco Agama Kedah, Dr Ismail Salleh tidak menolak kemungkinan Kumpulan Antikhalwat Skuad Badar yang mahu berhimpun dan menyerahkan memorandum bantahan penyebaran Bible mempunyai agenda lain.

Tambah Ismail, ini demikian kerana kumpulan tersebut tidak mahu berjumpa dengannya mengikut waktu yang ditetapkan iaitu Ahad ini, pada sebelah petang.

Sebaliknya kumpulan itu ingin berhimpun di hadapan pejabatnya pada waktu pagi ketika ketiadaannya.

“Saya dah minta pegawai saya hubungi depa (mereka), depa jawab tak mahu jadi macam tu lah.

“Kita nampak ada agenda lain, itu yang saya nampak. Kita bukan baru dalam politik tapi dah lama. Jadi tak apalah, kita lihat apa berlaku selepas tu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Melalui hebahan di Facebook Skuad Badar, kumpulan itu menamakan himpunan berkenaan sebagai “Himpunan Umat Islam, Himpunan Aman Mendesak Penyebaran Bible di kalangan Umat Islam”.

Kumpulan berkenaan menyeru orang ramai untuk berkumpul di hadapan Wisma Negeri Kedah jam 9 pagi dengan memakai baju hitam.

Selain itu, jemputan berkenaan juga turut disertai gambar Timbalan Pesuruhjaya III PAS Selangor Ustaz Zamri Zainuldin, Pengasas NGO Alif Ba Ta Srikandi Masyhur Wan Asshima Kamaruddin dan NGO Semboyan 1 Malaysia Yusuf Azmi.

Isu berkenaan timbul apabila pada 9 Nov lalu, dalam kejadian jam 3 pagi, empat individu dilihat mengedar Bible dalam bahasa Inggeris dan Tamil di kawasan perumahan Melayu di Kampung Sungai Emas, Kota Kuala Muda.

Kes berkenaan kini dalam siasatan polis.

Mengulas lanjut, Ismail turut melihat penyertaan “rakan lamanya dalam PAS” yang akan hadir ke perhimpunan tersebut "mempunyai niat tertentu".

“Kalau datang pagi, kita tak bertangungjawab, tak ada yang layan depa dan memorandum itu tak ada yang terima. Jadi kita minta supaya jangan salahkan kita sebab saya nampak benda-benda macam itu (kekecohan) akan jadi sebab sekarang pun dia tak nak ubah waktu, nak ikut waktu depa juga.

“Saya kan PAS juga duu saya kenal semua (pemimpin PAS) itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS