Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pemuda PKR sokong Streram jadi calon DUN Rantau
Diterbitkan:  Nov 16, 2018 9:25 PM
Dikemaskini: 1:25 PM

Pemuda PKR berpendapat Dr S Streram merupakan calon paling layak mewakili parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan.

Ketua Pemuda PKR yang baru, Akmal Nasir berkata Dr Streram perlu diberikan peluang sekali lagi untuk bertanding di DUN berkenaan selepas dinafikan hak untuk bertanding di DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas.

"Kredit harus diberikan kepada Dr Streram yang sebelum ini dinafikan hak untuk bertanding," katanya dalam sidang media selepas menghadiri Kongres Nasional Pemuda PKR di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita jika pemuda PKR akan mengemukakan calon tersendiri untuk kerusi DUN Rantau di mana kemenangan penyandang kerusi itu Mohamad Hasan pada PRU14 lepas diisytihar sebagai tidak sah dan terbatal oleh Mahkamah Khas Pilihan Raya hari ini.

Akmal berkata Dr Streram banyak berjuang di mahkamah membela haknya dan parti untuk bertanding di DUN Rantau dan justeru perlu diberikan peluang kedua kepadanya.

Petisyen di mahkamah

Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas, ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga seorang pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon diadakan pilihan raya semula DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Sementara itu mengulas mengenai proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang berlangsung sejak 22 September lepas, Akmal berusia 32 tahun berkata beliau secara peribadi tidak berpuas hati dengan proses pemilihan itu, namun percaya Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) akan melakukan penambahbaikan dalam masa terdekat.

Timbalan Ketua Pemuda PKR yang baru, Hilman Idham berkata satu audit dalaman dilantik JPP sedang menilai keputusan proses pemilihan PKR.

Beliau bagaimanapun berkata hasil audit itu mungkin akan melibatkan sedikit perubahan tetapi tidak memberikan impak besar terhadap keputusan pemilihan secara keseluruhan.

- Bernama         

Lihat Komen
ADS