Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP PH bagai ada emas di bibir, sindir Najib
Diterbitkan:  Nov 17, 2018 11:11 AM
Dikemaskini: 3:11 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan sikap membisu anggota parlimen Pakatan Harapan (PH) ketika beliau bercakap mengenai 1MDB di Dewan Rakyat pada Rabu lalu.

"Bila saya tiba bahagian di mana saya menyatakan fakta mengenai perjanjian penyelesaian IPIC dengan 1MDB dan bertanya PH, tiada seorang pun ahli parlimen mereka membuka mulut bagai ada emas di bibir.

"Suara (MP) Jelutong pun tak kedengaran," tulis Najib di laman Facebooknya malam tadi.

Beliau meminta Guan Eng menjawab empat persoalan, antaranya mengapa kerajaan PH membisu apabila IPIC yang juga syarikat milik kerajaan Abu Dhabi, mengeluarkan kenyataan balas bahawa 1MDB tidak berhutang kepadanya, yang bertentangan dengan tuduhan kerajaan PH.

"Jika ia prejudis, mengapa mereka boleh keluarkan kenyataan mengenai perjanjian itu tetapi tak mahu dedahkan dokumen perjanjian itu?

"Mengapa tiada satu pun pemimpin PH pernah mempersoalkan mengapa pegawai-pegawai kanan Abu Dhabi dan bos mereka tidak dipanggil untuk disoalsiasat memandangkan wang itu dipindahkan kepada mereka dan merekalah yang didapati banyak menggunakan wang itu dan mengagihkan wang itu kepada pihak-pihak yang lain?" soal Najib.

Najib dalam tulisannya menegaskan setiap sen yang didakwa hilang dari 1MDB telah dibayar atau dijamin oleh IPIC.

"Adakah perjanjian penyelesaian itu mengandungi klausa bahawa IPIC bersetuju untuk menyelesaikan semua wang dibayar oleh 1MDB kepada mereka yang kini didakwa hilang sebelum 30 Disember 2020?

"Mengapa masih tidak mahu mendedahkan perjanjian penyelesaian tahun 2015 dan 2017 ini?"soalnya.

Pentadbiran PH kini sedang mencabar terma penyelesaian antara 1MDB dan IPIC yang dimeterai tahun lepas dengan alasan penyelesaian itu dicapai melalui penipuan.

Ketika Najib menjadi perdana menteri, butiran mengenai penyelesaian itu tidak lengkap dan Speaker Dewan Rakyat ketika itu, Pandikar Amin Mulia sering kali menghentikan anggota parlimen pembangkang daripada mempersoalkan isu 1MDB.

Dalam satu laporan eksklusif semalam, Malaysiakini mendedahkan bahawa kerajaan telah melantik peguam terkemuka UK - David Pannick bagi mengetuai pasukan guaman dalam tindakan undang-undang terhadap IPIC.

Sementara itu, dalam catatan Facebook berasingan semalam - Najib mendakwa PH menyerangnya dan keluarganya dengan maklumat yang bocor.

"Melalui media yang dikawal mereka selain pembocoran maklumat secara berpilih dari pegawai tertentu, timbul banyak cerita cerita liar, persepsi dan andaian terhadap pendakwaan yang dilakukan kerajaan PH terhadap saya dan keluarga saya.

"Satu contoh ialah kenyataan kerajaan berdasarkan kepada perjanjian penyelesaian mendakwa 1MDB masih berhutang IPIC sebanyak AS$4.5 bilion.

"IPIC bagaimanapun segera menyanggah kenyataan itu dan menafikan 1MDB berhutang dengan IPIC. Realitinya, ia adalah sebaliknya di mana IPIC sebenarnya yang perlu membuat pembayaran kepada 1MDB," kata Najib.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS