Bakal Presiden PKR, Anwar Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk mengkaji semula sistem pemilihan parti itu apabila mengambil alih teraju kepimpinan parti itu daripada Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Bagi tujuan itu kata Anwar satu kajian akan dilakukan oleh sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk melihat semula keseluruhan proses berkenaan.

Anwar berkata beliau sering menyentuh soal pemilihan parti itu, namun ia hanya sekadar pandangan peribadi kerana mendapati proses berkenaan dilihat amat rumit dan perlu diselia secara profesional.

“Apa yang boleh saya cadangkan ialah sebaik saja saya mengambil alih jawatan presiden, sebuah jawatankuasa khas akan mengkaji semula keseluruhan proses pemilihan parti,” katanya dalam sidang media pada Kongres Nasional PKR Ke-13 di Shah Alam, hari ini.

Anwar berkata demikian ketika mengulas mengenai pandangannya berhubung masalah yang menyelubungi sistem e-undi pada pemilihan PKR 2018 yang berlangsung baru-baru ini.

Katanya, parti itu tidak boleh lagi dibelenggu dengan polemik pemilihan parti, sebaliknya perlu terus melangkah ke hadapan dan menyerahkan kepada jawatankuasa khas untuk menjalankan audit.

Jelasnya beliau yakin Rafizi Ramli dan Mohamed Azmin Ali yang merebut jawatan timbalan presiden PKR memahami situasai itu.

“Lebih penting ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menyiasat isu kehilangan undi serta dakwaan rasuah sepanjang pemlihan parti,” katanya.

Pemilihan PKR 2018 yang pertama kali menggunakan sistem e-undi mencetuskan kontroversi dan rasa tidak puas hati dalam kalangan calon bertanding termasuk Azmin dan Rafizi.

Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin juga turut mempersoalkan proses pemilihan parti yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP).

semalam calon Ketua Pemuda PKR, Dr Afif Bahardin turut menggesa kepemimpinan baru parti itu mengkaji semula sistem pemilihan parti itu.