PRK Rantau medan uji kesepakatan PH -- Mahfuz
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau merupakan medan menguji kesepakatan Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Mahfuz Omar.
Beliau berkata selain dari kesepakatan, PRK DUN Rantau juga bertujuan mempamerkan kejayaan yang telah dilakar kerajaan Negeri Sembilan dibawah pimpinan PH dalam urus tadbir negeri ketika ini.
"Saya percaya bahawa kerajaan Negeri Sembilan akan berjaya menyenaraikan kejayaannya sepanjang tempoh enam bulan membentuk kerajaan.
"Saya penuh yakin bahawa apa yang telah berjaya dilakukan Negeri Sembilan ini akan dapat memberi keyakinan kepada rakyat di DUN Rantau untuk memberi dokongan dan sokongan kepada calon yang bertanding nanti.
“Sehubungan itu, kita akan mengerakkan jentera dari seluruh negeri untuk membantu calon PH yang akan bertanding bagi memenangi kerusi di DUN berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Amanah Negeri Sembilan Kali Ke-3 di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Zulkefly Mohamad Omar dan Naib Pengerusi Amanah Negeri Sembilan Mohamad Taufek Abd Ghani.
Dalam pada itu, beliau percaya pengundi DUN Rantau juga menolak penuh keputusan PRU14 lalu berikutan kemenangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang merupakan kemenangan yang tidak adil dan penuh dengan helah politik.
"Jadi kali ini rakyat akan menolak Mat Hasan (Mohamad Hasan) dan juga BN (Barisan Nasional)," katanya.
Ditanya mengenai ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan menjadi bahan kempen BN pada PRK DUN Rantau, beliau yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata perkara tersebut tidak menggugat PH untuk memenangi kerusi tersebut.
Semalam, Mahkamah Khas Pilihan Raya dilapor memutuskan bahawa kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau PRU14 adalah tidak sah dan terbatal dan PRK DUN itu perlu diadakan serta-merta.
Terdahulu, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr S. Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon pada 28 April lepas kerana tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.
- Bernama

