Ketua Pergerakan Wanita Umno Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid mengesa agar kerajaan negeri agar mencari pendekatan lain untuk menyelasaikan masalah bekalan elektrik tanpa menggunakan arang batu sebagai sumber penjanaan tenaga elektrik di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri yang diterajui Parti Warisan Sabah (Warisan) perlu menghormati kehendak rakyat yang tidak mahukan arang batu digunakan sebagai sumber untuk penjanaan tenaga eletrik sejak dahulu kerana ia menjejaskan kelestarian alam sekitar negeri ini.

“Kita sememangnya maklum tentang masalah kekurangan bekalan eletrik yang dihadapi di Sabah ketika ini, namun ia tidak seharusnya digunakan sebagai alasan untuk menggunakan arang batu untuk penjanaan tenaga eletrik di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam ucapan penggulungan Belanjawan Negeri Sabah 2018 di Dewan Undangan Negeri baru-baru ini Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Christina Liew berkata kementeriannya kementeriannya mengambil maklum saranan agar pertimbangan sewajarnya dibuat berhubung dengan cadangan untuk menggunakan arang batu sebagai sumber alternatif bekalan eletrik di Sabah.

Jainab berkata sebarang cadangan pembinaan jana kuasa menggunakan arang batu perlu dikaji secara terperinci dengan mengambil kira dasar-dasar kerajaan semasa termasuk Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah.

- Bernama