mk-logo
Berita
Rafizi kata Streram calon paling layak di Rantau
Diterbitkan:  Nov 17, 2018 9:31 AM
Dikemaskini: 9:31 AM

Pemimpin PKR, Rafizi Ramli hari ini menafikan beliau adalah calon PKR untuk pilihan raya semula bagi kerusi DUN Rantau.

Ketua PKR Cabang Pandan itu sebaliknya menegaskan bahawa Dr S Streram adalah calon paling layak untuk kerusi itu.

Rafizi berkata kempen dan usaha Dr Streram termasuk memfail bantahan terhadap keputusan pilihan raya itu menjadikannya orang paling layak sebagai calon bagi kerusi itu.

"Tidak, saya telah nyatakan dengan tegas sebelum PR (Pilihan Raya), saya tidak berhasrat memegang sebarang jawatan awam untuk sekurang-kurangnya dua tahun, dan saya fikir parti memahaminya,” katanya kepada pemberita pada Kongres Nasional PKR 2018 di Shah Alam.

Rafizi mengulas khabar-khabar angin mengenai pencalonannya itu selepas Mahkamah Pilihan Raya di Seremban semalam mengisytiharkan kemenangan Mohamad Hasan bagi kerusi negeri Rantau dalam PRU14 adalah tidak sah dan batal.

Mohamad memenangi kerusi itu tanpa bertanding pada hari penamaan calon pada 28 April selepas calon PKR Dr S Streram tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon kerana beliau tidak memiliki pas dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Terdahulu, pemimpin utama PKR, Anwar Ibrahim yang menang presiden parti tanpa bertanding turut mengesahkan nama Rafizi ditimbulkan sebagai calon bagi kerusi berkenaan.

- Bernama

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS