Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Timbalan menteri sangkal dakwaan tak bantu penoreh getah

Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Md Akin menafikan dakwaan bahawa kementeriannya tidak melakukan apa-apa tindakan untuk membantu penoreh getah yang terjejas dengan penurunan harga komoditi itu.

"Saya fikir itu tidak tepat untuk menyatakan bahawa saya dan Teresa tidak melakukan apa-apa kerana kita sedia maklum bahawa harga komoditi secara umumnya dikawal oleh pasaran.

"Sudah pastilah itu realiti kita hadapi, iaitu perlu ditangani dengan satu program yg komprehensif terutamanya untuk meringankan beban pekebun2 kecil.

"Seperti mana yang diumumkan dalam Belanjawan (2019), terdapat pendekatan-pendekatan yang baik diumumkan oleh Menteri Kewangan, yang antaranya meneruskan dasar lama iaitu memberi bantuan apabila harga getah jatuh dari RM2.20 (sekilogram)," kata Shamsul.

Beliau berkata demikian kepada Malaysiakini ketika ditemui di Kongres Nasional PKR ke-13 di Shah Alam hari ini.

Pada Khamis lalu, kumpulan aktivis politik Otai Reformis menggesa Shamsul dan Kok digantikan dengan individu lain kerana mendakwa kedua-dua tidak melakukan sebarang usaha membantu penoreh getah.

"Otai berpendapat bahawa menteri dan timbalannya tidak kompeten dalam menangani isu kejatuhan harga getah ini dan ingin mencadangkan agar perdana menteri menukar mereka ini dengan pemimpin-pemimpin yang lebih ‘mesra rakyat’ dan mampu merasai kepayahan hidup golongan ini yang menyumbang kepada ekonomi negara dalam rombakan kabinet tidak berapa lagi lagi," kata ahli jawatankuasa Otai Reformis, Abdul Razak Ismail.

Shamsul berkata beliau dan Kok turun padang untuk bertemu pelbagai pihak sejak mengambil alih jawatan di kementerian berkenaan.

Salah satu langkah yang diambil adalah mengarahkan Lembaga Getah melancarkan proses tuntutan bagi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) untuk penoreh getah jika harga getah jatuh di bawah RM2.20 sekilogram.

Pada Rabu, harga getah ditutup pada RM1.84 sekilogram di semenanjung, RM1.68 di Sarawak, dan RM1.54 di Sabah.

Ia juga dilaporkan sebelum ini bahawa kerajaan bersetuju mempertimbangkan penetapan paras harga IPG ke RM2.50 sekilogram berbanding RM2.20 ketika ini. 

Lihat Komen
ADS