Terjemahan PAS akan menfailkan petisyen pilihanraya terhadap keputusan pilihanraya kecil Pengkalan Pasir minggu ini, kata peguam parti itu.

Pilihanraya kecil Pengkalan Pasir diadakan pada 6 Disember lalu dan dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) dengan majoriti tipis 134 undi.

" Kemungkinan besar kami memfailkan petisyen tersebut di Mahkamah Tinggi Kota Bharu esok," kata peguam Hanipa Maidin kepada malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan memberikan butir-butir lanjut pestisyen berkenaan tetapi menegaskan ia dibuat berdasarkan asas-asas yang kukuh termasuk kewujudan pengundi hantu dan rasuah politik.

Di bawah undang-undang pilihanraya Malaysia, calon yang bertanding boleh mengemukakan petisyen pilihanraya dalam tempoh 21 hari selepas keputusan itu diwartakan.

Memandangkan keputusan pilihanraya kecil Pengkalan Pasir diwartakan pada 15 Disember, calon PAS mempunyai tempoh hingga Khamis ini untuk memfailkan petisyennya.

Dalam pilihanraya tersebut, calon BN, Hanafi Mamat mengalahkan calon PAS, Hanifa Ahmad dan calon bebas, Datuk Paduka Ibrahim Ali.

Pilihanraya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat PAS, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar pada 31 Oktober lalu.

Ekoran kekalahan dalam pilihanraya kecil itu, majoriti kerajaan PAS dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan jatuh kepada satu kerusi sahaja dengan menguasai 23 daripada 45 kerusi.

Petisyen itu akan didengar di Mahkamah Pilihanraya yang dihakimi oleh seorang hakik Mahkamah Tinggi. Ia mungkin mengambil masa hingga enam bukan untuk diputusakan.

Di bawah Akta Kesalahan Pilihanraya, petisyen hanya boleh dibuat berdasarkan alasan-alasan kukuh seperti penyalahgunaan wang, ugutan dan pelanggaran prosidur pilihanraya.