Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP: Gerakan bukan lagi ancaman PH di P Pinang

Gerakan tidak lagi mendatangkan ancaman kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Pulau Pinang, kata Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow.

Beliau berkata selepas kekalahan parti itu pada PRU ke-14, Gerakan masih cuba selaraskan kedudukan mereka di negeri dan peringkat pusat.

"Parti Gerakan telah tarik diri daripada BN dan mereka tidak lagi membawa ancaman kepada kita pada masa yang terdekat, manakala parti lain yang bertanding di Pulau Pinang juga tidak lagi aktif selepas PRU ke-14," katanya dalam ucapan ketika Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang yang dirasmikan oleh Setiausaha Agung, Lim Guan Eng di George Town hari ini.

Beliau berkata hampir keseluruhan barisan pembangkang di Pulau Pinang ditewaskan dan Umno hanya dapat mengekalkan dua kerusi DUN manakala PAS menang satu kerusi disebabkan oleh kehilangan kelayakan untuk bertanding oleh calon PH.

"Namun, parti pembangkang di Pulau Pinang akan sentiasa cuba memainkan peranannya dalam persidangan DUN Pulau Pinang, tetapi pihak PH terus berusaha mempertahankan dasar-dasar kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, beliau berkata Konvensyen Biasa Negeri tahun ini adalah amat bersejarah kerana DAP Pulau Pinang bukan sahaja dapat mempertahankan kedudukannya di Pulau Pinang pada kali ketiga dengan majoriti yang lebih tinggi, tetapi juga dapat menawan kerajaan persekutuan.

Chow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, parti-parti komponen PH khususnya DAP akan terus memainkan peranannya bagi mencapai misi menjadikan Malaysia sebuah negara yang progresif, demokratik dan makmur.

Beliau berkata setelah bertungkus-lumus selama 52 tahun, akhirnya PH berjaya menubuhkan Kerajaan di peringkat persekutuan.

"Di Pulau Pinang, DAP telah menang buat kali ketiga dengan mandat yang lebih tinggi, sebanyak 37 kerusi daripada 40 DUN manakala mengekalkan semua tujuh kerusi parlimen dan 19 kerusi DUN selepas PRU ke-14, dan DAP diberi jawatan ketua menteri dan tujuh jawatan Exco," katanya.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan 13 kerusi Parlimen.

DAP dan PKR masing-masing berjaya mengekalkan 19 dan 14 kerusi DUN yang dimenangi mereka pada PRU ke-13 manakala Bersatu menang di Teluk Bahang dan Bertam, yang sebelum itu menjadi kerusi milik PKR, dan Amanah di Permatang Pasir dan Bayan Lepas.

BN mempertahankan dua kerusi DUN yang dimenangi pada PRU ke-13 iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan manakala PAS menang di Penaga.

-Bernama

Lihat Komen
ADS