KONGRES PKR | Semua pihak perlu berhenti melaga-lagakan dua pemimpin yang ada di negara ini untuk mengelakkan negara serta parti lemah kata Shamsul Iskandar Md Akin.

Beliau yang gagal mempertahankan jawatan naib presiden kali ini berkata PKR wajar belajar daripada pengalaman kerajaan silam Melaka yang runtuh akibat khianat orang dalam.

Kata Shamsul Iskandar ketika Melaka jatuh ke tangan Portugis kerajaan tersebut mempunyai kekuatan dan kelengkapan yang mencukupi.

"Saya rayu kepada semua, cukup-cukuplah, jangan kita mengadu-domba, cucuk-mencucuk dan melaga-laga Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

"Jadikan pengalaman Si Kitul sebagai pengajaran," katanya merujuk kepada watak dalam Sejarah Melayu yang menjadi pengkhianat sehingga membawa kepada kejatuhan kerajaan Melayu Melaka.

Si Kitul juga menyebar pelbagai fitnah membabitkan pemimpin negeri itu.

Kata Shamsul Iskandar sebagai orang Melaka beliau sedar bagaimana kerajaan negeri itu ratusan tahun silam mempunyai kemampuan melawan Portugis.

"Tetapi waktu itu kita kalah kerana Si Kitul yang menjadi pengkhianat, yang menjatuhkan.

"Jangan ada Si Kitul moden dalam PKR dan Pakatan Harapan.

"Perdana menteri sekarang ialah Mahathir dan selepas ini insya-Allah Anwar," katanya.

Isu peralihan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar pernah dibangkitkan sesetengah pihak - termasuk dalam PKR - yang mendakwa ada cubaan untuk menghalang ia berlaku.

Bagaimanapun kedua-dua pihak menegaskan persefahaman yang dicapai sebelum PRU ke-14 lalu akan dilaksanakan apabila tiba masa yang sesuai.

Shamsul Iskandar juga menyatakan PKR akan lebih berjaya dengan gandingan Anwar dan timbalan presiden Azmin Ali.

Kata anggota parlimen Hang Tuah Jaya itu hubungan Anwar dan Azmin memang sudah baik selama 30 tahun.

"Gandingan Anwar dan Azmin jangan dicucuk-cucuk.

"Kalau ada dalam kalangan kita nak melaga-lagakan, cermin diri dulu.

"Kalau hendak berteduh, berteduh di bawah pokok; kalau hendak berlabuh, berlabuh di teluk tenang; itulah gandingan Anwar dan Azmin," katanya.