Naib Presiden MIC Sivarraajh Chandran menyelar Menteri Pengangkutan Anthony Loke yang didakwanya menyerang Speaker Dewan Negara S Vigneswaran.

Kata Sivarraajh apa yang dilakukan Loke itu sekadar taktik murahan dan bermotifkan politik.

Menurut anggota parlimen Cameron Highlands itu, Loke sepatutnya memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah negara berbanding melakukan ‘helah politik’ semata-mata untuk kelihatan kekal relevan.

Kenyataan Sivarraajh itu merujuk kepada sidang media Loke semalam yang mendakwa Vigneswaran melanggar protokol keselamatan dan etika pakaian ketika menggunakan ruang istirehat VIP di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

Sambil menunjukkan klip video hasil rakaman kamera litar tertutup Loke mendakwa Vigneswaran datang ke kawasan tersebut dengan berselipar sebelum dihalang kakitangan keselamatan di situ.

Insiden itu berlaku pada 14 Nov lalu.

Apabila ditegur oleh pegawai bertugas, Vigneswaran terus menceroboh tanpa mahu diperiksa, walaupun beliau pada ketika itu tiada pas keselamatan. Beliau juga menengking kakitangan bertugas.

Dakwa kaki bengkak

Loke bagaimanapun menegaskan bahawa sidang media itu tidak bersifat peribadi, sebaliknya dilakukan bagi memberi peringatan bahawa VIP juga perlu mengikut prosedur keselamatan yang telah ditetapkan.

“Kalau saya tidak mempertahankan penjawat awam kita, mereka pasti bimbang akan dibuli oleh orang kenamaan yang berstatus tinggi ketika menjalankan tanggungjawab mereka,” Loke dipetik sebagai berkata semalam.

Bagaimanapun, Vigneswaran menjelaskan bahawa beliau bukanlah ditahan oleh pegawai keselamatan, sebaliknya seorang penyambut tetamu yang menurutnya telah mentafsir peraturan (pekeliling tentang etika pemakaian) dengan sesuka hatinya. 

Loke semasa megadakan sidang media pada 17 Nov.

Katanya, pekeliling itu hanya menyebut tentang tetamu bilik VIP perlu berpakaian sesuai, dan tidak ada menyebut tentang selipar- yang dipakainya kerana kakinya mengalami "bengkak".

Vigneswaran yang juga merupakan presiden MIC, turut berkata usaha menghubungi Loke telah dilakukan, namun Loke sengaja tidak mahu mendengar cerita daripada pihaknya.

Kata Sivarraajh negara ini berdepan masalah yang lebih besar untuk diselesaikan.

Justeru katanya jika Loke atau mana-mana pemimpin PH mahu kekal relevan, mereka harus beri tumpuan untuk menyelesaikan masalah, bukannya berpolitik sepanjang hari.

"Rakyat berhak dapat lebih daripada ini, baik daripada dia mahupun pihak kerajaan,” kata Sivarraajh dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sivarraajh dalam kenyataannya memberitahu bahawa sebagai seorang tetamu, Vigneswaran sepatutnya mempunyai hak untuk memakai pakaian yang dikehendakinya.

Katanya, rakaman CCTV itu turut menunjukkan bahawa Vigneswaran tidak ditahan oleh sesiapa pun ketika memasuki bilik VIP tanpa pas keselamatan.

“Kalau seseorang tak patuh pada peraturan, sepatutnya pegawai keselamatan itu sudah halang dia.

“Soalan saya sekarang, kenapa tak ada orang halang dia (Vigneswaran) kalau betul dia tak patuh pada peraturan?

"Jangan cakap mereka tak sedar tentang tugas mereka sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap keselamatan lapangan terbang, sampai menteri pula kena keluarkan kenyataan untuk memberi bukti," katanya.

Beliau turut menuduh Loke sebagai menteri yang menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan.

[Baca berita asal]