Bekas perdana menteri, Najib Razak memulangkan paku buah keras kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mendakwa Program Susu 1Malaysia (PS1M) hilang ketika kerajaan BN memerintah.

Kata Najib, hasil siasatan menunjukkan semua susu yang patut dibekalkan untuk tahun 2017 berjaya dibekalkan kepada 7,000 sekolah.

"Tetapi dia (Mazslee) masih tidak berhenti dan kini menuduh wang untuk susu kanak-kanak di bawah Program Susu 1Malaysia (PS1M) juga telah hilang.

"Hasil siasatan menunjukkan semua susu yang patut dibekalkan untuk tahun 2017 telah berjaya dibekalkan kepada 7,000 sekolah. Begitu juga untuk tahun 2016.

"Malangnya, program susu ini tidak diteruskan untuk tahun ini selepas Pakatan Harapan (PH) menang kerana dana peruntukan untuk tahun ini tidak diluluskan dan disalurkan oleh kerajaan PH sendiri," katanya dalam tulisan di Facebook, hari ini.

Terdahulu, laporan Mingguan Malaysia menyangkal kenyataan Dr Maszlee bahawa Program Susu 1Malaysia (PS1M) penuh skandal dan gagal.

Menurut laporan akhbar itu yang memetik sumber, semua lima syarikat pembekal susu yang dilantik pentadbiran lalu telah menghantar bekalan kepada lebih 7,000 sekolah yang terlibat dalam program itu, bermula Ogos hingga Oktober 2017.

Sumber yang dikatakan terlibat secara langsung dalam program itu mendakwa, proses pembekalan telah mengikut prosedur, termasuk mempunyai dokumen yang lengkap seperti surat setuju terima (SST), surat akuan penerimaan (SAP) dan invois tuntutan pembayaran.

“Kalau macam itu (susu tidak dihantar), penolong kanan serta guru besar juga perlu disiasat dan ditahan memandangkan mereka yang menandatangani SAP selepas bekalan tersebut dihantar ke sekolah,” katanya seperti dipetik.

Pada 8 November lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa PS1M bagi tahun 2018 yang sepatutnya berjalan tahun ini dan telah diluluskan peruntukan, tidak diketahui kedudukannya.

Sementara itu, Najib berkata, sekali lagi didapati kerajaan PH sendiri yang salah tetapi menteri pendidikan mahu mempersalahkan beliau dan kerajaan BN dahulu.

"Sudah lebih 6 bulan mentabdir. Sampai bila kerajaan PH mahu menyalahkan kerajaan BN dahulu?

"Adakah menteri pendidikan kita sekarang mahu mendidik anak-anak muda kita untuk berbohong dengn bersungguh-sungguh dan membuat tuduhan liar sebelum menyiasat?" ujarnya.