Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Majlis Presiden PH akan tentukan calon Rantau

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Dr Mahathir Mohamad berkata Majlis Presiden PH akan menentukan calon pakatan itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Negeri Sembilan.

Beliau berkata isu parti mana yang akan meletakkan calon tidak perlu wujud kerana yang penting adalah calon itu nanti akan mewakili gabungan empat parti komponen PH.

"Yang akan bertanding ialah calon Pakatan Harapan bukan calon parti Pribumi (Bersatu), Keadilan (PKR). Jadi kita akan selesaikan siapa akan jadi calon," kata perdana menteri kepada media Malaysia selepas berakhirnya Sidang Kemuncak APEC Ke-26 di Papua New Guinea hari ini.

Beliau mengulas lanjut mengenai beberapa nama daripada kalangan parti gabungan PH yang disebut-sebut menjelang pilihan raya kecil itu tidak lama lagi.

Jumaat lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya di Seremban memutuskan bahawa kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan bagi kerusi DUN Rantau pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu adalah tidak sah dan terbatal, dan PRK DUN itu perlu diadakan serta-merta.

- Bernama

Lihat Komen
ADS