Anwar cuba rawat 'luka' pemilihan
KONGRES PKR | Presiden baru PKR Anwar Ibrahim hari ini cuba meredakan ketegangan dalam partinya yang berpunca daripada kempen agresif sepanjang pemilihan parti yang bermula secara rasmi 22 September lalu.
Dalam ucapan penangguhan Kongres PKR ke-13, Anwar meminta pihak yang tewas memberi sokongan kepada mereka yang menang.
Pada masa sama, beliau juga mengingatkan pihak yang menang agar tidak meminggirkan pemimpin yang tewas.
Beliau merujuk secara langsung Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli - dua pemimpin yang menjadi perhatian utama dalam pemilihan kali ini.
Azmin yang menyandang jawatan itu sejak 2010 mengekalkan kedudukannya selepas dicabar rapat oleh Rafizi.
"Majoriti memilih Azmin, maka sokonglah beliau dengan padu.
"Kalau lihat rekod Rafizi terutama dalam Invoke dan pendedahan skandal berskala besar BN, Umno, kita harus bawa beliau bersama dalam saf kepimpinan," katanya.
Anwar berkata selagi beliau memimpin PKR, semua pihak akan mendapat tempat dan peranan dalam parti itu.
Dalam sidang media selepas itu, Anwar ditanya tentang kedudukan yang akan diberikan kepada Rafizi tetapi tidak menjawabnya secara terus.
"Anda ada candangan?" katanya ringkas.
Anwar turut ditanya sama ada PKR akan mengekalkan jawatan ketua umum yang dipegangnya sebelum ini.

Anwar sekali lagi mengelak, apabila membalasnya dengan berjenaka sama ada pemberita mencadangkan Rafizi dicalonkan untuk jawatan itu.
Jawatan ketua umum diwujudkan khas untuk beliau pada 2007, memandangkan beliau tidak dibenarkan memegang apa-apa jawatan rasmi susulan hukuman penjaranya.
'Saya hanya mahu bercuti'
Ketika ditanya berhubung lantikan dalam kepimpinan baru PKR, Rafizi berkata buat masa ini beliau hanya mahu bercuti.
"Beri saya sedikit masa. Anwar akan membincangkan perkara ini di peringkat dalaman untuk menentukan barisan (kepimpinan).
"Saya akan pertimbangkan cadangan Anwar dan juga rancangan saya sendiri."
Rafizi berkata beliau mahu memberi tumpuan di peringkat akar umbi, dan melaksanakan janjinya mewujudkan koperasi untuk anggota PKR.

