Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tok Mat berterima kasih pada PAS kerana beri laluan di Rantau

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan hari ini berterima kasih kepada PAS kerana kesediaan parti itu memberi laluan kepada Umno bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Mohamad berkata beliau turut menyambut baik hasrat PAS yang mahu menurunkan jentera pilihan raya mereka bagi memastikan kemenangannya pada PRK berkenaan.

"Saya telah dimaklumkan berhubung pendirian PAS untuk tidak menurunkan calon sekali gus memberi laluan kepada Umno dan BN untuk bertanding pada PRK tersebut.

"Bagi saya itu merupakan satu tindakan yang positif, jika dilihat pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini yang apabila kami dan PAS bertanding (merebut satu kerusi) yang pasti dua parti ini kalah dan akhirnya memberi kemenangan pada parti lawan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan khas Presiden Umno bersama kepimpinan Umno peringkat Selangor di Kuala Selangor.

Turut hadir, Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Semalam, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata parti itu memberi sokongan kepada Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu sama ada berbentuk undi ataupun jentera pilihan raya dalam mempertahankan kemenangannya dalam PRK Rantau.

Takiyuddin berkata sokongan PAS juga diterjemahkan menerusi tindakan parti itu tidak bertanding di DUN berkenaan bagi memberi laluan kepada Umno.

Jumaat lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan kemenangan Mohamad di kerusi DUN Rantau pada PRU14 adalah tidak sah dan terbatal dan PRK DUN itu perlu diadakan serta-merta.

Sebelum ini Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas calon PKR Dr S Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon 28 April lepas, ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.

Bagaimanapun mahkamah memutuskan untuk tidak memberi perakuan keputusan itu sehingga tamat tempoh rayuan selama 14 hari bermula semalam.

Mengulas lanjut mengenai rayuan itu, Mohamad berkata beliau belum membuat keputusan sama ada mengemukakan rayuan atau tidak kepada mahkamah.

"Saya sedang menimbang mengenainya...apa yang baik, apa yang tidak, tengok juga pada keperluannya sama ada perlu atau tidak rayuan itu dibuat," tambahnya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS