Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Baru: Tak hadir kongres PKR bukan sebab boikot

Menteri Kerja Raya Baru Bian menjelaskan ketidakhadiran beliau pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke-13 di Shah Alam, sudah dimaklumkan kepada pihak sekretariat parti.

Baru berkata beliau telah mengarahkan Setiausaha Politiknya Zakaria Abdul Hamid untuk berbuat demikian.

“Saya tidak dapat menghadiri kongres kerana mempunyai lawatan rasmi ke Ipoh, Perak dan di Kuantan hari ini (semalam).

“Tidak timbul isu saya memboikot kongres,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Kewartawanan Lebuhraya Pantai Timur 2018 (AKLPT18) semalam di Kuantan.

​​​​​​Baru berkata di Ipoh, beliau menghadiri majlis penutup Sukan Kementerian Kerja Raya dan, selain AKLPT18, beliau juga mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Wilayah Timur.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ucapan Presiden PKR Anwar Ibrahim yang memberi amaran keras kepada menteri daripada parti itu kerana gagal menghadiri kongres berkenaan.

Mengulas lanjut, Baru berkata beliau juga tidak lagi memegang jawatan penting dalam parti dan ramai perwakilan Sarawak yang hadir pada kongres itu.

“Saya hanya bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sarawak dan tidak bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) kerana ingin memberi ruang kepada orang lain.

“Sekiranya dilantik atau dipilih, saya akan menjadi semula (Pengerusi MPN PKR Sarawak)...kalau tidak saya hanya ‘orang kecil’ dalam parti.

“Sebagai menteri pusat, itu lain dengan jawatan dalam politik, ia tanggungjawab saya sebagai menteri yang harus saya jalankan,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS