Polis sudah memulakan siasatan terhadap dakwaan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri S A Vigneswaran melanggar protokol keselamatan ketika masuk ke bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor berkata kes itu disiasat mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

“Siasatan sedang dijalankan. Kami siasat di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959," katanya seperti dipetik Harian Metro, hari ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata pihak pengurusan telah membuat laporan polis terhadap insiden yang berlaku pada 14 November itu.

Isu ini mula timbul apabila Loke dalam sidang media Sabtu lalu menunjukkan rakaman video litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Vigneswaran yang juga presiden MIC tiba di bilik VIP KLIA dengan memakai selipar, sebelum dihentikan oleh kakitangan keselamatan penerbangan.

Loke juga mendakwa Vigneswaran menengking kakitangan lapangan terbang dan memasuki bilik VIP itu tanpa pas keselamatan.

Vigneswaran kemudian menafikan perkara itu dan menyifatkan Loke sebagai tidak berlaku adil terhadapnya kerana tidak memberi peluang untuknya menjelaskan keadaan.