Polis telah menahan suspek kes langgar lari yang merempuh kawasan restoran di Sri Kembangan semalam.

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan memaklumkan lelaki yang berasal dari Sarawak itu ditahan pada pukul 1.43 pagi tadi.

“Kenderaan itu adalah milik majikan suspek. Kami kesan pemilik sebelum dia menyerahkan suspek kepada pihak polis.

"...Suspek dipercayai mabuk ketika kejadian dan sampel darah suspek diambil bagi ujian alkohol," katanya seperti dipetik.

Ismadi bagaimanapun berkata lelaki itu tiada rekod jenayah dan hasil ujian awal saringan air kencing mendapatinya negatif dadah.

Suspek juga mengaku terlibat dalam kejadian itu dan direman di Mahkamah Petaling Jaya pada pukul 10 pagi tadi, katanya lagi.

Menurut Bernama, lima pelanggan restoran itu dilanggar pacuan empat roda yang dipandu lelaki itu pada kira-kira pukul 8.15 malam semalam.

Seorang wanita berusia 57 maut manakala empat lagi cedera.