Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin pertahan presiden MIC, dakwa Daim juga berselipar

MIC hari ini menggesa Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook supaya tidak bersifat kebudak-budakan dan suka mencari kesalahan pembangkang.

Menurut Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, S Rajah, tindakan Loke yang menuduh Presiden MIC, A Vigneswaran melanggar peraturan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum siasatan terperinci menunjukkan beliau bersifat kebudak-budakan.

"Saya hairan, menteri menuduh Speaker Dewan Negara sebagai melanggar protokol KLIA dan menggesanya minta maaf. Kini, beliau kata kes ini diserahkan kepada polis. Ini menunjukkan Anthony Loke masih tidak matang.

"Sebagai seorang menteri, beliau sepatutnya siasat secara menyeluruh ataupun serahkan kes ini kepada pihak polis. Bukannya, tuduh dahulu. Lepas, itu minta polis siasat.

"Bagaimana, sekiranya pihak polis mendapati speaker Dewan Negara tidak bersalah? Sanggupkah, Anthony Loke mnta maaf kepada Tan Sri (Vigneswaran)?" soal beliau ketika dihubungi oleh Malaysiakini.

Pada kejadian pada 14 November itu, Vigneswaran yang juga adalah yang dipertua Dewan Negara didakwa melanggar peraturan keselamatan di KLIA.

Selain tidak menjalani pemeriksaan badan, pemimpin MIC itu juga tidak mematuhi kod berpakaian yang sesuai dengan memakai sandal ketika berada di laluan kenamaan.

Susulan itu, Loke yang memandang serius tindakan Vigneswaran yang tidak mengendahkan arahan pegawai yang bertugas, menuntutnya supaya meminta maaf.

Vigneswaran mendakwa beliau memakai selipar pada hari kejadian itu kerana kecederaan kecil pada kakinya ketika menemani anak perempuannya yang buat pertama kali menaiki penerbangan.

Dalam pada itu, Rajah turut mencabar Loke supaya membuat laporan polis terhadap Tun Daim Zainuddin yang sering memakai selipar ketika menyambut delegasi antarabangsa selaku wakil perdana menteri.

"Kesalahan Tun Daim lagi besar kerana beliau memakai selipar ketika menjadi wakil perdana menteri. Kenapa beliau tidak dituduh? Tiada laporan polis?" soalnya.

"Nampaknya, pegawai-pegawai kerajaan mungkin diberi arahan oleh menteri supaya hanya menjaga kedaulatan undang-undang dan kod etika terhadap pemimpin pembangkang sahaja," katanya.

Lihat Komen
ADS