Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kalau tak dapat susu, jangan pula dicampur gula'
Diterbitkan:  Nov 19, 2018 2:03 PM
Dikemaskini: 6:03 AM

Sekiranya pengagihan susu segar kepada murid miskin tidak dapat dibuat, kerajaan diseru tidak menggantikannya dengan kualiti lebih rendah.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock mencadangkan makanan berzat tinggi seperti telur digantikan atau menjadikan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) lebih berkhasiat, dengan peratusan buah-buahan atau sayuran yang lebih tinggi.

"Justeru itu pihak NUTP ingin merayu kepada pihak kerajaan untuk memberi susu segar kepada murid-murid dan bukan susu kotak yang berisi gula," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tan juga berharap supaya isu tersebut tidak dijadikan pertelingkahan politik walaupun memandang serius isu susu yang gagal dibekalkan itu.

"Pihak NUTP amat sensitif terhadap isu-isu yang membabitkan pendidikan dan juga soal nutrisi anak murid. 

“Pihak NUTP hanya memikirkan yang terbaik untuk anak didik kita tidak kita kerajaan yang memerintah," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan Dr Maszlee malik berkata Program Susu 1Malaysia (PS1M) merupakan program yang penuh skandal dan gagal.

Pada 8 November lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa PS1M bagi tahun 2018 yang sepatutnya berjalan tahun ini dan diluluskan peruntukan, tidak diketahui kedudukannya.

Perdana menteri sebelum ini Najib Razak menyangkal dakwaan itu dan berkata hasil siasatan menunjukkan semua susu yang patut dibekalkan untuk tahun 2017 berjaya dibekalkan kepada 7,000 sekolah.

PS1M merupakan program bawah RMT yang sepatutnya mengedarkan susu kotak kepada murid miskin di sekolah.

Untuk rekod, pelaksanaan RMT menerima peruntukan RM229 juta daripada kerajaan BN seperti dibentangkan dalam Belanjawan 2018.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS