Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib boleh dikenakan perintah hina mahkamah, kata peguam

Bekas perdana menteri Najib Razak boleh dihadapkan perintah menghina mahkamah jika beliau enggan masuk ke kandang tertuduh ketika perbicaraan kesnya, kata peguam.

Mohd Haniff Khatri Abdulla berkata Najib telah melakukan kesalahan dengan enggan berbuat demikian ketika pengurusan kes bagi 25 pertuduhan jenayah berkaitan 1MDB pada 16 November lalu.

Katanya ia boleh dianggap sebagai menghina kerana melanggar prosedur mahkamah.

"Saya cadangkan pihak pendakwaan agar memulakan prosiding menghina mahkamah jika Najib terus enggan duduk di kandang tertuduh pada masa akan datang.

"Beliau boleh dihukum penjara jika didapati bersalah," katanya sambil menambah setiap individu perlu diberikan layanan sama rata di bawah undang-undang.

Seorang lagi peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar juga berkata Najib perlu diberikan hukuman kerana menghina mahkamah.

"Sangat tidak wajar untuk bekas perdana menteri, yang juga tertuduh, untuk enggan memasuki kandang tertuduh ketika pengurusan kes.

"Sebagai pihak yang dituduh, beliau jelas dengan niat menunjukkan rasa tidak hormat kepada mahkamah.

"Beliau memilih untuk tidak mematuhi arahan mahkamah walau berulang kali diminta berbuat demikian," katanya kepada Malaysiakini.

Syed Iskandar berkata lagi, oleh kerana tindakan Najib jelas kes menghina mahkamah, peguam negara patut memulakan prosiding untuk mendakwanya, dengan pendengaran dan keputusan dalam masa dua minggu.

Ketika di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Jumaat lalu, Najib dua kali diminta untuk masuk ke kandang tertuduh, selepas pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta polis mahkamah mengarahkannya untuk berbuat demikian.

Namun Najib tetap berada di tempat duduknya di kerusi sebelah kandang tertuduh.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS