Paling Popular
Terkini

ULASAN | Apa PAS ni? Dulu berbaik dengan DAP, sekarang dengan Umno pula! Apa yang PAS nak?

Tidak ada parti yang berbaik dengan PAS kecuali akan berpisah akhirnya. PAS memang keras, tak boleh buat kawan!

Saya jawab: OK, saya terima itu. Tapi bolehkah anda terima bahawa itu juga bermakna PAS senang dan mudah diajak berbaik? Itukan lebih logik?

DAP dan Umno yang bertengkar dengan PAS berpuluh tahun lamanya pun boleh berbaik juga akhirnya dengan PAS. Bukankah itu tandanya PAS mudah, tidak pun payah untuk diajak berbaik-baik?

Ada DAP nak berbaik dengan Umno hari ini? Oh, tidak!

Mengapa? Mereka akan jawab: buat apa menghidupkan parti yang dah kalah, (ada kes) 1MDB, rasuah, rasis bla bla.. Pergi matilah Umno!

PAS berbaik dengan UMNO hari ini? Jawab saja, oh, ya!

Mengapa? PAS jawab: Tanya DAP, mengapa PAS baik dengan DAP dulu? Kerana 2 perkara:

  • DAP hormati PAS dan perjuangan Islamnya.
  • Sama-sama mahu tumbangkan Umno-BN.

Maka PAS pun menghormati dan berbaik dengan DAP. Sejarah persahabatan yang hebat itu kekal terpahat, takkan padam dalam sejarah politik negara.

Maka samalah jawabnya PAS berbaik dengan Umno:

  • Umno menghormati PAS dan perjuangan Islamnya.
  • Sama-sama mahu tumbangkan DAP-PH (Pakatan Harapan).

Mengapa dulu (PAS) mahu tumbangkan Umno, tapi kini DAP? Jawabnya, kerana sebab yang sama.

Umno dulu amat liat terima Islam yang sempurna sebagai panduan pemerintahan mereka.

Kini DAP-PH pula. Bukan saja liat, bahkan lebih teruk daripada itu. Ternyata DAP-PH lebih berbahaya dan membahayakan.

Tanpa Umno, PAS kekal dengan Islam dan kekal juga melawan DAP-PH. Dengan Umno, PAS lagi bersemangat melawan DAP-PH.

Lagi bersemangat?

Saya jawab: ya, tambah bersemangat.

Saya masih kecil untuk merasai pahit dan manis PAS bersama BN dalam kerajaan Perikatan hampir 50 tahun lalu. Saya masih budak, baru belajar menjolok buah.

Tetapi, hari ini, selepas sekian lama menyaksikan permusuhan tak sudah, saya melihat Umno memilih untuk bersama PAS dan amat menghormati perjuangan PAS. Umno tidak memilih untuk bersama DAP-PH yang lebih berkuasa.

Yang melompat, sila lompat. Bukan katak sahaja yang pandai melompat. Tupai pun.

Mari bersyukur kepada Allah atas takdir-Nya yang penuh hikmah.

Yang amat berbisa kini bukan lagi gabungan PH yang tengah sedia menanti belah, tetapi adalah temuan Umno - PAS yang amat lama dinanti oleh umat.

Kekalkah?

Saya jawab: tanya Umnolah. Mereka lebih abang long untuk mengeratkan atau memutuskan. Adik ni kira terima seadanya..

Umno bohong saja ustaz!

Saya jawab: Yang sedang berbohong siang dan malam kini ialah DAP-PH.

Selamat berjuang. Islam memimpin.


NIK ABDUH NIK ABDUL AZIZ ialah anggota parlimen Bachok, Kelantan dan anggota Jawatankuasa Pusat PAS. Tulisan ini dipetik dari Facecbook beliau.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS