Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Razak: Saya sentiasa sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda hari ini berkata dia bersedia untuk membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berhubung pembelian kapal selam Scorpene.

SPRM sebelum ini membuka semula siasatan berhubung dakwaan rasuah dalam pembelian kapal selam berkenaan.

Razak, yang juga merupakan orang kepercayaan bekas perdana menteri Najib Razak, merupakan salah seorang yang dikaitkan dalam kes berkenaan dan didakwa menerima bayaran dari pembelian Scorpene dari pihak pembekal di Perancis pada 2002.

"Dalam apa jua keadaan saya sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa sekiranya dipanggil, dalam sebarang siasatan," katanya kepada Malaysiakini melalui mesej teks hari ini.

Razak diminta mengulas isu berkenaan selepas sumber mendedahkan SPRM dijangka memanggil beberapa pihak termasuk Razak sendiri bagi disoal siasat berhubung pembelian kapal selam berkenaan.

Pegawai penyiasat awal hari ini merakam kenyataan Najib di Putrajaya. Bekas pengerusi BN itu dilaporkan berada di ibu pejabat suruhanjaya itu selama empat jam.

Najib merupakan menteri pertahanan ketika pembelian kapal selam itu dibuat antara kerajaan Malaysia dan pembekal di Perancis, DCN International S.A.(DCNI).

Urusan pembelian berkenaan juga melibatkan pembekal dari Sepanyol, Izzar Construcciones Navales dan syarikat perkhidmatan Malaysia, Perimekar Sdn Bhd yang dimiliki Razak.

Pada 2012, media melaporkan pendakwa raya Perancis yang menyiasat urusan pembelian berkenaan menemukan bukti yang didakwa menunjukkan Najib mendapat AS$1 bilion (RM3 bilion) bagi Perimekar yang dibayar oleh DCNI.

Lihat Komen
ADS