Paling Popular
Terkini

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat isu kehilangan bekalan susu di bawah Program Susu 1Malaysia (PS1M).

“Kita serah kepada SPRM untuk membuat apa-apa komen. Saya tidak mahu mengganggu sebarang siasatan,” katanya ringkas kepada pemberita di lobi Parlimen, di Kuala Lumpur hari ini.

Sebelum ini, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dilapor mempersoal status PS1M apabila susu kotak di bawah program itu tidak diedarkan sejak Januari lepas walaupun mempunyai peruntukan di bawah Belanjawan 2018 yang dibentangkan kerajaan terdahulu.

Dalam pada itu, Maszlee berkata pihaknya akan memastikan proses perolehan tender bekalan susu PS1M akan dilakukan secara tender terbuka pada masa akan datang.

“Tiada lagi runding terus dan kita akan pastikan tidak ada kilang santan yang akan diberikan kontrak untuk membekalkan susu,” katanya.

Mengulas mengenai ketetapan kementeriannya mengenai kebenaran memasuki kawasan sekolah bagi Anggota Parlimen pembangkang, Maszlee berkata ia bagi mengelak penyebaran unsur politik kebencian kepada pelajar sekolah.

“Anggota Parlimen kerajaan, mereka datang untuk menerangkan dasar kerajaan tetapi apabila Anggota Parlimen pembangkang mereka perlu membuat permohonan terlebih dahulu, kami mahu memberikan mereka syarat dan prasyarat...kami tidak mahu ada yang menyebarkan perkara yang tidak benar dan kebencian di sekolah,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS