Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelajar sekolah tahfiz terima sijil Kementerian Pendidikan

Seramai 249 pelajar tiga sekolah menengah aliran agama yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) bakal menerima sijil tahfiz daripada Kementerian Pendidikan bulan depan.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkasa pendidikan Islam, sijil itu akan memberi nilai tambah kepada pelajar di peringkat menengah rendah dan menengah atas untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Beliau berkata KBT dimulakan pada 2014 di tiga sekolah menengah bagi melahirkan pelajar yang menghafaz 30 juzuk al-Quran dan membentuk insan yang mempunyai asas keagamaan yang mantap, berwibawa serta berkepimpinan.

“Sehingga 2018, KBT telah dilaksanakan di 17 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), 11 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan empat buah sekolah berasrama penuh,” katanya pada majlis menandatangani Nota Kerjasama Penganugerahan Sijil Tahfiz antara Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di bangunan Parlimen semalam.

Maszlee menarik perhatian bahawa pendidikan tahfiz semakin berkembang dan mendapat perhatian ibu bapa kerana kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pendidikan al-Quran dan kelebihan yang diperoleh jika memperoleh gelaran Al-Hafiz.

“Dalam pembentangan belanjawan negara baru-baru ini, kerajaan turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM50 juta kepada sekolah tahfiz yang berdaftar.

“Secara keseluruhannya, kementerian komited dalam melaksanakan pelbagai usaha sama ada dari aspek kurikulum tahfiz, pentaksiran, pensijilan, perjawatan dan latihan guru bagi mengiktiraf pendidikan tahfiz dan huffaz setanding dengan pendidikan arus perdana di negara ini,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS