Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mujahid: Silakan bantah Icerd, tapi jangan guna emosi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof Rawa menasihati pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan berhubung isu Penghapusan Segala Bentuk Diskrimasi Kaum (Icerd) agar tidak menggunakan emosi dalam membantah.

"Ini negara demokrasi. Tak semestinya bersetuju dengan kerajaan. Cuma saya nasihatkan sebagai rakyat Malaysia, kita juga perlu menjaga sensitiviti.

"Jangan sampai isu ini menjadi isu agama dan perkauman. Kalau mahu berhimpun, silakan. Tapi jangan guna emosi mengancam isu agama dan perkauman," katanya di majlis sambutan Maulidur Rasul di Putrajaya hari ini.

Jelas Mujahid, beliau telah berunding dengan semua pihak yang mahu memberi pandangan berhubung isu Icerd dan terbuka untuk mengadakan rundingan kedua sekiranya perlu.

"Saya telah pun mengadakan rundingan dan kalau perlu rundingan kedua saya akan tengok. Tapi secara umum, kita telah mendapat maklum balas.

"Ada yang bercakap secara objektif, ada yang kata tentang tempoh masa dan ada yang tak bersetuju. Semua kita catit," katanya.

Jumaat ini, sebagai membantah cadangan kerajaan meratifikasi Icerd, Pemuda Umno dan Pemuda PAS akan mengadakan Himpunan Bantah Icerd yang akan diadakan di Masjid Negeri, Seremban.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengakui isu Icerd sensitif di kalangan orang Melayu dan memberi jaminan pandangan semua pihak akan diambil kira.

Antara kebimbangan yang disuarakan terhadap Icerd adalah ia akan menjejaskan hak dan kedudukan orang Melayu dan bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Lihat Komen
ADS