Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Dakwaan masyarakat agama lain dipaksa peluk Islam tak benar'
Diterbitkan:  Nov 20, 2018 4:09 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Tiada sesiapa dari kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di negara ini yang dipaksa memeluk agama Islam, kata Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee.

Beliau berkata masyarakat Islam sentiasa menghormati hak penganut agama lain mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

"Justeru dakwaan kononnya masyarakat beragama lain dipaksa memeluk agama Islam adalah adalah tidak benar dan fitnah semata-mata kerana Islam merupakan agama yang mementingkan keamanan.

"Masyarakat Islam adalah masyarakat mudah mesra, mementingkan persaudaraan, keharmonian dan paling penting keamanan sejagat," tegas beliau semasa berucap pada Perhimpunan dan Perarakan Sambutan Maulidur Rasul peringkat Bahagian Sibu hari ini.

Kira-kira 7,000 orang mewakili 69 kontingen dari jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, swasta, sekolah menengah dan rendah, institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan menyertai upacara perhimpunan serta perarakan itu.

Sehubungan itu, Dr. Annuar yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka menyeru masyarakat Islam di Sibu supaya terus mengekalkan perpaduan antara mereka demi kepentingan dan kemajuan pada masa hadapan.

"Tidak kira apa fahaman atau perbezaan pendapat, masyarakat Islam perlu mengetepikannya dan sentiasa terus bersatu padu," katanya.

Turut hadir ialah Residen Bahagian Sibu, Charles Siaw, ketua-ketua jabatan dan ketua-ketua masyarakat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS