Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Bekas panel penasihat SPRM kecewa k'jaan mahu mansuh hukuman mati
Diterbitkan:  Nov 20, 2018 5:23 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Bekas anggota panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Robert Phang berhasrat mengadakan beberapa siri perbincangan untuk melibatkan orang awam berhubung langkah kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu memansuhkan hukuman mati.

Bermula di Kuala Lumpur hari ini,  beliau dan kumpulannya akan meneruskan program di Johor Bahru dan Pulau Pinang pada bulan depan.

Sehubungan itu mereka akan mengemukakan petisyen bagi menggesa perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengekalkan hukuman berkenaan.

Phang berkata kerajaan, khususnya Menteri Undang-undang, Liew Vui Keong gagal mendapatkan pandangan orang ramai sebelum keputusan kabinet dibuat untuk menghapuskan hukuman mati bagi 32 kesalahan dan menggantikannya dengan hukuman penjara minimum 30 tahun.

"Liew kata perkara ini telah melalui kabinet. Jika ia telah melalui Kabinet [...] adakah mereka atau kerajaan membincangkan (idea berkenaan) kepada kita sebagai rakyat untuk mengetahui sama ada baik atau buruk menghapuskan hukuman mati?

"Kerajaan mesti dengar suara rakyat [...] jika mereka tidak mahu menghargai suara rakyat, lima tahun akan datang kamu boleh memutuskan sama ada akan terus mengundi kerajaan atau tidak," Katanya pada sidang akhbar pada acara yang dinamakan "Kami Menentang Penghapusan Hukuman Mati" hari ini.

Liew sebelum ini berkata 32 kesalahan itu termasuk pembunuhan, merangkumi Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Angkatan Tentera 1972, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Keluarga mangsa bunuh juga ada hak

Turut hadir dalam acara itu ahli keluarga beberapa mangsa pembunuhan yang menyatakan rasa kesal apabila kerajaan tidak mengambil kira pandangan mereka supaya hukuman mati dikekalkan.

Tan Siew Lin, iaitu ibu kepada remaja perempuan Annie Kok yang dirogol dan dibunuh di rumah keluarga mereka di Bentong pada tahun 2009, terlalu bingung untuk bercakap kepada pihak media semasa sidang akhbar hari ini.

 

"Saya menentang sepenuhnya (langkah menghapuskan hukuman mati). Ini tidak adil kepada kami. Kerajaan patut dengar apa yang kami mahu," kata Tan kepada media selepas itu.

Sim Yee Ling, ibu kepada remaja perempuan Ng Yuk Tim yang dibunuh pada tahun 2013, juga menegaskan bahawa hak asasi keluarga mangsa pembunuhan juga patut dihormati.

"Kami sangat kecewa, kerajaan baru mempunyai banyak perkara untuk dilakukan dan ini bukan keutamaannya.

"[...] Saya harap kerajaan dengar suara kami. Sebagai keluarga mangsa pembunuhan, kami bukan kumpulan besar tetapi kami juga mempunyai hak asasi manusia," kata Sim kepada pihak media.

Acara ini merupakan repons terhadap pihak yang menggesa hukuman mati dimansuhkan bagi memberikan hak untuk hidup kepada pesalah yang dijatuhi hukuman berkenaan.

Bukan wakili MCA

Semasa acara hari ini, kumpulan yang memakai T-shirt berwarna biru gelap berkenaan mengangkat sepanduk yang tertera tulisan berbunyi "Jangan Mansuhkan Hukuman Mati" dan mengetuai seramai kira-kira 200 orang melaungkan bantahan.

 Antara yang berada dalam kumpulan itu ialah calon pilihan raya umum ke-14 (PRU14) Ryan Ho (foto, empat dari kiri) dan calon parti itu pada pilihan raya kecil di Balakong baru-baru ini, Tan Chee Teong (foto, ketiga dari kiri).

Juruacara dan penganjur bersama, Kua Sok Hwa kemudian mengesahkan kumpulan itu tidak mewakili acara berkenaan atau organisasi, serta menegaskan  tiada kena mengena dengan politik.

Ketika ditanya kemudian Ho dan Tan menafikan mereka mewakili parti komponen BN itu sebaliknya mewakili Persatuan Kebajikan Kasih Sayang yang berpusat di Kluang.

"Kita hanya di sini menyatakan sokongan," kata Tan kepada Malaysiakini.

Mereka kemudian bergerak ke KLCC bagi mengutip tandatangan dalam petisyen bagi menggesa hukuman mati dikekalkan.

Lihat Komen
ADS