Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Timb menteri: Henti sebar gambar anak-anak lelaki itu
Diterbitkan:  Nov 20, 2018 5:58 PM
Dikemaskini: 10:00 AM

Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching meminta netizen supaya menghentikan perbuatan menyebarkan gambar anak-anak seorang lelaki yang dikatakan memaki seorang promoter minum keras di sebuah pasar raya baru-baru ini.

"Jangan kongsi gambar anak-anak E*** ****** mahupun butiran sekolah anak-anaknya belajar.

"Marilah tamatkan kebencian dalam masyarakat dan jangan bawa ia ke sekolah," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, lelaki berkenaan dikritik netizen selepas memuat naik sebuah video rakaman dipercayai dirinya sendiri, yang secara agresif menyoal seorang wanita berbangsa Cina yang menjadi promoter minuman keras di sebuah pasar raya.

Dalam rakaman video selama 45 saat itu, lelaki berkenaan bertanya mengenai bangsa wanita itu dan mengapa mempromosikan minuman keras kepada 'sesiapa sahaja' di pasar raya itu.

Dia juga mempertikaikan wanita tersebut kerana menjawab dalam bahasa Inggeris dengan mengatakan '"ni ialah bumi Melayu".

Promoter itu kemudian menerima pujian netizen kerana sikapnya yang tenang berdepan tindakan agresif tersebut sebaliknya menegur lelaki berkenaan kerana bersikap perkauman.

Dilaporkan sesetengah pihak memuat naik gambar ahli-ahli keluarga lelaki berkenaan yang memaksa Teo menegur perbuatan mereka.

Dalam hantarannya hari ini, Teo berkata tindakan lelaki dalam video itu salah tetapi bukan dengan cara menyebarkan gambar ahli keluarganya.

"Mari kita belajar daripada gadis (promoter bir) itu dan tidak mengulangi kesilapan E** ******," katanya.

Lihat Komen
ADS