Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah yakin PKR letak calon sesuai lawan Tok Mat
Diterbitkan:  Nov 20, 2018 6:49 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Parti Amanah Negeri Sembilan akan memberi komitmen tinggi membantu calon PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Timbalan Pengerusinya Mohamad Taufek Abd Ghani berkata ini adalah arahan Amanah Pusat supaya membuat persediaan awal untuk menghadapi PRK itu, walau pun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengumumkan notis kekosongan kerusi itu.

"Kita akan memberikan komitmen 100 peratus untuk membantu jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH), walau pun calonnya dikalangan PKR. Kita akan membantu sepenuhnya calon PH untuk mempastikan kemenangan PH dan seterusnya merampas kerusi itu dari Barisan Nasional (BN)," katanya kepada Bernama di Seremban hari ini.

Tentang pemilihan calon, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Belia dan Sukan negeri berkata itu terpulang kepada PKR untuk menentukannya.

"Bagaimana pun, saya yakin PKR akan meletakkan calon sesuai dan berwibawa bagi menyaingi ketokohan calon BN iaitu Timbalan Presiden Umno yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilah Datuk Seri Mohamad Hasan," katanya.

Pada 28 April lepas, Dr. S. Streram tidak dibenarkan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ekoran ketiadaan pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memasuki pusat penamaan calon dan lantaran itu, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, diumumkan menang tanpa bertanding kerusi tersebut.

Pada 23 Mei lepas, Dr. Streram memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya, Mohamad tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Jumaat lepas, Mahkamah Khas Pilihan Raya di sini memutuskan PRK DUN Rantau perlu diadakan serta merta berikutan kemenangan Mohamad di kerusi itu adalah tidak sah dan terbatal.

-Bernama

Lihat Komen
ADS