Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Lim Lip Eng berkata parti itu akan menyediakan peguam bagi mengiringi lelaki yang dirakam menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang promoter bir, yang tular di media sosial beberapa hari lalu.

Ia sehari selepas lelaki yang dikenali sebagai Eddy Rejang itu membuat permohonan maaf atas insiden itu, dalam satu pertemuan dengan Lim semalam.

"DAP akan menyediakan peguam untuk menemani Eddy untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

"Paling cepat kita ke sana mungkin esok," katanya ketika ditemui pemberita di Parlimen, hari ini.

Lim berkata, Eddy telah berjanji untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam perkara itu.

"Bagaimanapun bergantung kepada polis dan juga mangsa, sama ada untuk menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah dan menerima permohonan maafnya," katanya yang juga anggota parlimen Kepong.

Dalam rakaman berdurasi 46 saat itu, Eddy dilihat memarahi seorang promoter wanita di sebuah pasar raya kerana mendakwa mengedarkan perasa minuman keras kepada semua pelanggan.

Promoter tersebut menafikan dakwaan itu. Lelaki itu juga menunjukkan isyarat lucah apabila desakannya agar wanita itu menggunakan bahasa Melayu tidak diendahkan.

Semalam Lim membuat laporan polis yang merujuk kepada laporan berita berhubung video itu dan berkata ia bagi memastikan pihak berkuasa mengambil tindakan untuk menangani isu kaum yang semakin menjadi-jadi di negara ini.

Tidak lama kemudian Eddy melalui satu lagi rakaman video memohon maaf dan berkata menyesal dengan tindakan itu.

Menurut Eddy, dia telah bertemu dan meminta maaf kepada Lim dan berharap isu itu tidak akan dipanjangkan oleh mana-mana pihak.

Lihat Komen
ADS