Paling Popular
Terkini

Ahli parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berharap penyokong-penyokong PAS dapat memberikan sokongan kepada Umno dalam pilihan raya kecil (PRK) di Rantau nanti.

Ketika ditemui pemberita di parlimen hari ini, Khairy meluahkan penghargaan terhadap PAS yang tidak meletakkan calon di PRK tersebut.

“Terima kasih kepada PAS kerana memilih tidak bertanding di Rantau dan saya harap pengundi-pengundi PAS akan beri sokongan kepada Tok Mat (Mohamad Hasan).

“Ini satu berita baik kepada kita sebab kita tak mahu undi berpecah sebab ada tiga parti besar bertanding, saya harap PAS beri sokongan kepada Umno dan BN di Rantau nanti,” katanya.

Pada 17 November lalu PAS dilaporkan berkata akan memberikan laluan kepada Umno dalam pilihan raya semula itu.

Menurut Khairy, Umno telah pun memulakan gerak kerja awal kerana telah menjangkakan kemungkinan berlakunya PRK di situ.

“Rantau berada dalam kawasan parlimen Rembau, dan sudah pasti saya akan memberi tumpuan sepenuh masa di sana bagi membantu Tok Mat untuk menang kawasan tersebut.

“Kawasan ini bukan asing kepada saya dan Tok Mat dan kita harap sokongan akan terus diberikan kepada Tok Mat untuk kekal menjadi Adun Rantau,” kata Khairy lagi.

Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov lalu memerintahkan bahawa kerusi DUN Rantau, Negeri Sembilan sebagai kosong dan kemenangan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan pada pilihan raya umum ke-14 lalu adalah tidak sah.

Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian bahawa tiada undang-undang bertulis atau keperluan yang menyatakan tag atau pas masuk diperlukan oleh calon, pencadang dan penyokong untuk mengemukakan borang pencalonan.

Lihat Komen
ADS