Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Jangan ambil kesempatan isu Icerd
Diterbitkan:  Nov 21, 2018 4:44 PM
Dikemaskini: 8:44 AM

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun hari ini tampil mengingatkan bahawa pihaknya akan memastikan isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) tidak "diambil kesempatan".

"Polis akan menjalankan amanah untuk menjaga ketenteraman awam dan akan memastikan tidak wujud sebarang bentuk pelanggaran undang-undang ataupun percubaan daripada mana-mana pihak yang ingin mengambil kesempatan ke atas isu ini, demi kepentingan agenda mereka," katanya.

Jelas Mohamad Fuzi, rakyat Malaysia bebas menyuarakan pendapat mereka selagi ia mengikut saluran yang mematuhi undang-undang.

"Ia (menyuarakan pendapat atau bantahan) perlu mengikut landasan undang-undang dan tidak sesekali boleh melampau batasan sehingga menyentuh sensitiviti rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini," katanya.

Dalam kenyataan medianya, Mohamad Fuzi turut mengingatkan agar pihak yang ingin mengadakan himpunan bantahan mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuklah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Kenyataan ketua polis negara itu dibuat ketika beberapa pihak membantah cadangan untuk meratifikasi Icerd yang disifatkan akan "menjejaskan" hak istimewa orang Melayu.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang sebelum ini menyifatkan umat Islam perlu membantah Icerd kerana ia akan menyamakan agama rasmi negara dengan agama lain.

Terdahulu, PAS dan Umno mengumumkan akan mengadakan himpunan bantahan bersama di Kuala Lumpur pada 8 Dis.


Lihat Komen
ADS