Isu ahli politik masuk sekolah: Maszlee dakwa media salah lapor
Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyifatkan kenyataannya berhubung ketetapan agar anggota parlimen pembangkang meminta kebenaran daripada kementerian untuk masuk sekolah kerajaan "disalah lapor".
Sebaliknya, beliau mengulangi kenyataannya di Dewan Rakyat dua hari lepas bahawa wakil rakyat bukan kerajaan perlu mengikut prosedur untuk berbuat demikian.
"Jangan misquote (salah lapor) saya, yang saya katakan tak betul bila pakai perkataan banned atau melarang, saya tak pernah cakap begitu," katanya pada sidang media selepas melancarkan program 'Life Saving Skills' dan Modul Kesedaran Keselamatan dan Menyelamat di Air 2018 di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam kenyataannya di Dewan Rakyat Isnin lepas, Maszlee dilapor menegaskan bahawa anggota parlimen pembangkang yang ingin masuk sekolah kerajaan perlu mendapat kebenaran daripada kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri.
Berita berkaitan: 'MP pembangkang perlu dapat izin nak masuk sekolah'
Kenyataannya mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk anggota Pakatan Harapan (PH) sendiri antara lain Ketua Pemuda PH Nik Nazmi Nik Ahmad yang menggesa agar wakil rakyat pembangkang dihormati.
Nik Nazmi berkata: "Mengharamkan pihak pembangkang dari sekolah dan institusi pengajian lain adalah salah satu penyalahgunaan kuasa yang paling buruk di bawah pemerintahan BN sebelumnya".
Selain Nik Nazmi, kenyataan Maszlee turut dikritik BERSIH yang menggesa agar ketetapan sama dikenakan kepada wakil rakyat pembangkang dan kerajaan.
Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan aktivis sosial Hishamuddin Rais yang mendakwa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menghalangnya menyampaikan kuliah dalam satu program di kampus itu, Maszlee berkata ia tidak sepatutnya berlaku.
Maszlee berkata beliau telah mengeluarkan kenyataan bahawa setiap universiti awam dalam negara adalah ruang intelektual terbuka.
"Saya telah meminta UKM memberi penjelasan. Saya telah menyatakan dengan jelas bahawa pendirian kita ialah universiti sepatutnya menjadi ruang terbuka untuk intelektual.
"Dua minggu selepas jadi menteri, saya ada membuat kenyataan bahawa apa-apa kekangan di universiti haruslah diketepikan bagi membolehkan forum dan perdebatan diadakan," katanya.

