Paling Popular
Terkini

Individu yang merakam dan memarahi promoter minuman keras di pusat beli-belah didakwa kehilangan kerja sebagai penghantar barang.

Mohamad Edi Mohamad Riyars yang juga dikenali sebagai 'Edi Rejang' memaklumkan Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng berhubung perkara itu.

Menurut Lim, syarikat tempat Edi bekerja memberhentikannya selepas video yang dimuat naiknya tular dan mendapat kecaman ramai pengguna media sosial.

Edi awal hari ini memohon maaf kepada promoter wanita yang dimarahinya. Dalam klip video permohonan itu, Lim duduk di sebelah Edi.

"Edi hubungi saya dan minta bantuan. Dia menangis ketika bercakap dengan saya kerana dia takut polis cari dia.

"Saya tanya apa dia mahu buat, dan dia kata mahu mohon maaf. Dan kata dia akan buat apa saja," kata Lim memaklumkan Malaysiakini berhubung perjumpaannya dengan Edi semalam.

Lim juga menegaskan bahawa DAP tidak mendesak Edi untuk membuat permohonan maaf itu.

Dalam permohonan maafnya, Edi mengakui kesilapannya dan menjelaskan bahawa tindakannya terhadap wanita itu disebabkan kepenatan kerja.

Edi juga menegaskan bahawa dia bukan seorang rasis dan mendedahkan dia menghantar anaknya ke sekolah jenis kebangsaan serta mempunyai rakan berbangsa Cina.

Sementara itu, Lim berkata, DAP hanya dapat menawarkan Edi bantuan guaman namun bukan pekerjaan baru.

Edi tidak berkongsi keadaan kewangan keluarganya dalam pertemuannya dengan Lim semalam, namun wakil rakyat DAP itu membayangkan Edi bukan dari keluarga senang.

Promoter wanita yang terlibat dalam insiden itu sebelum ini tidak mahu memanjangkan isu berkenaan.

Wanita berkenaan juga meminta orang ramai menghormati ruang peribadinya dan tidak menyebarkan rakaman, gambar atau maklumat peribadinya

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS