Bekas perdana menteri Najib Razak mengakui bahawa selama ini beliau sentiasa berhubungan dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim, termasuk menelefonnya pada malam pilihan raya umum 9 Mei.

“Ya ada. Selama ini pun saya ada berhubung dengan beliau. Terutama sekali tanya khabar dari segi peribadi dan sebagainya,” katanya dalam satu wawancara dengan Penasihat Editorial Karangkraf Abdul Jalil Ali yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Sinar Harian pagi ini.

Jalil menyoal Najib sama ada benar bahawa beliau menghubungi Anwar, di sebuah hospital di Cheras, Kuala Lumpur ketika ketua umum PKR itu masih menjalani hukuman penjara.

Pada bulan September lalu, Anwar mendakwa Najib menghubunginya pada malam 9 Mei selepas BN ditumbangkan pada pilihan raya umum untuk membuat perjanjian.

Menjawab soalan lain, Najib menafikan ada cubaan untuk meyakinkan ahli parlimen Pakatan Harapan untuk menyertai BN selepas pilihan raya.

“Tidak. Malam itu saya ada saksi. Beberapa pemimpin utama datang ke rumah saya. Tak ada.

“Kami tidak bincang nak curi atau beli mana-mana wakil rakyat PH. Saya tak tahu dari datang mana datang khabarnya.

Dalam wawancara baru-baru ini, Mahathir mendakwa bahawa PH berdepan "kesulitan” pada malam 9 Mei.

Beliau mendakwa pemimpin Umno dan PAS cuba melamar wakil rakyat Melayu-Islam PH supaya bersama membentuk kerajaan majoriti Melayu-Islam.

“Nak ulang balik. Memang bukan dalam perancangan saya. Termasuk jugak dakwaan malam tu saya nak sidang MKN (Majlis Keselamatan Negara), nak isytihar darurat.

“Itupun satu tuduhan yang tidak benar sama sekali,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib berharap kerajaan PH akan meneruskan dasar bermanfaat kepada rakyat yang dilaksanakan kerajaan BN terdahulu.

“Saya melihat perlu ada kesinambungan dan atas sebab itu saya berharap janganlah hapuskan semua perkara yang dilaksanakan kerajaan terdahulu.

“Apa yang dilaksanakan kerajaan terdahulu... jika elok sambunglah, tetapi jika tidak elok beberapa perkara... kajilah semula.

“Kerajaan yang ada hari ini tidak boleh menoleh ke belakang menyalahkan kerajaan terdahulu. Mereka sudah dapat mandat dan tadbirlah mandat yang yang mereka terima,” katanya.

[Baca berita penuh]