Polis menahan seorang wanita kerana disyaki membuat laporan palsu mendakwa kononnya wang RM100,000 milik bapa saudaranya hilang dicuri di tandas sebuah stesen minyak di Petra Jaya, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek berkata, wanita berusia 30 tahun itu membuat laporan polis di Balai Polis Gita pada hari kejadian itu didakwa berlaku.

“Hasil siasatan lanjut, suspek bagaimanapun mengaku wang tersebut bukannya hilang dicuri tetapi telah digunakannya untuk membuka satu perniagaan.

“Suspek merupakan orang kepercayaan bapa saudaranya di mana beliau dipertanggungjawabkan untuk menguruskan segala urusan melibatkan kewangan. Difahamkan wang tersebut adalah hasil jualan rumah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga enam bulan atau denda hingga RM2, 000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

- Bernama