Kuil Seafield: K'jaan Selangor cuba sembunyikan sesuatu - bekas MP
Seorang bekas ahli parlimen PKR hari ini mendakwa kerajaan negeri Selangor cuba menyembunyikan sesuatu dalam mengendalikan isu Kuil Sri Sakthi Maha Mariamman yang kini menghadapi ancaman perobohan.
“Sejak isu ini dibawah kepada kerajaan negeri Selangor pada tahun 2008, mereka tidak begitu serius dalam menyelesaikan isu ini,” kata S Manickavasagam.
“Malah, saya sebagai bekas wakil rakyat PKR mendapati kerajaan Selangor cuba sembunyikan sesuatu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut bekas ahli parlimen Kapar itu, sejak isu ini dibangkitkan kerajaan negeri sering mendakwa bahawa penganut kuil berdegil untuk pindah ke tanah baru yang disediakan oleh pihak syarikat yang membeli tanah kuil sedia ada.
'Tanah dipajak kepada syarikat swasta'
Beliau berkata terkejut kerana tanah gantian untuk kuil itu merupakan tanah yang dipajak kepada syarikat swasta.
“Tetapi, pencarian kami di pejabat tanah mendapati tanah gantian disediakan tidak diwartakan di atas nama kuil.
“Lebih mengejutkan, tanah gantian yang disediakan di Seksyen 23, USJ, merupakan tanah milik kerajaan negeri dipajak kepada syarikat swasta tersebut untuk 21 tahun sahaja.

“Persoalannya, apa akan terjadi sekiranya pihak kuil berpindah dan tempoh pajak tamat selepas 21 tahun? Adakah pihak kuil perlu ke tempat lain sekali lagi?” Soal Manickavasagam.
Tambahnya, penganut kuil dan bekas pekerja Ladang Seafield kini berharap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dapat menangani isu ini selepas hilang keyakinan terhadap kerajaan negeri.
Semalam sekumpulan penganut Hindu berdemonstrasi di hadapan bangunan parlimen bagi mempertahankan kuil lebih 100 tahun di Subang Jaya daripada perobohan.
Tangguh seminggu
Mereka turut menyerahkan satu memorandum kepada perdana menteri supaya segera memberi perhatian terhadap isu kuil yang kini berada di atas sebidang tanah yang merupakan Ladang Seafield pada suatu ketika dahulu.
Sementara itu, Manickavasagam yang juga bekas anggota PKR berkata usaha perobohan kuil ditangguhkan lagi selama seminggu.
“Persetujuan ini dicapai di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam oleh peguam kedua-kedua pihak yang bersetuju untuk mengambil sebarang tindakan sehingga pihak mahkamah mendengar permohononan injunksi oleh para penganut Kuil Seafield.
“Hakim menangguhkan kes ini ke 29 November depan dan pihak syarikat bersetuju untuk tidak menjalankan kerja perobohan,” jelas Manickavasagam yang juga wakil penganut Hindu dalam kes ini.
Malaysiakini sedang cuba menghubungi Exco Kerajaan Negeri Selangor V Ganabathirau untuk mendapatkan penjelasan.

