Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penjawat awam wanita mangsa keganasan enggan lapor, bimbang jejas LNPT
Diterbitkan:  Nov 22, 2018 4:38 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Terdapat penjawat awam wanita mangsa keganasan di tempat kerja enggan melaporkan kejadian itu kerana bimbang tindakan itu boleh menjejaskan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) dan penilaian Sasaran Kerja Tahunan (SKT) mereka.

Perkara itu didedahkan Setiausaha Kewangan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Razali Singah yang menambah, jumlah kes keganasan terhadap wanita di tempat kerja agak membimbangkan dan boleh menjadi lebih serius sekiranya tiada inisiatif diambil untuk mengatasinya.

“Sebagai contoh, gangguan seksual, gangguan libatkan bos, rakan sekerja dan sebagainya, mereka takut untuk lapor kerana bimbang penilaian prestasi kerja akan terjejas, akhirnya mereka diam, pendam, kemurungan yang akhirnya akan menjejaskan prestasi kerja mereka juga.

“Laporan kes keganasan di kalangan penjawat awam wanita dari setiap sektor memang ada, namun jumlah yang enggan mengadu jauh lebih ramai. Ini agak membimbangkan dan sekiranya tiada langkah diambil untuk diatasi, dikhuatiri ia akan menjadi barah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Seminar Peningkatan Kualiti Penjawat Awam dan Kempen Menangani Keganasan Terhadap Wanita Peringkat Negeri Sembilan 2018 hari ini.

Tambahnya sebagai usaha menangani kejadian keganasan terhadap wanita ini, lebih banyak kempen atau ceramah perlu diadakan bagi memberi pendedahan dan kesedaran agar mereka lebih berani dan tidak lagi berasa takut untuk melaporkan sesuatu kejadian yang dialami.

“Dengan adanya seminar seperti ini mungkin dapat berikan sedikit pendedahan agar kesedaran mereka terhadap keganasan yang dilakukan pihak tertentu dapat dibawa ke pihak atasan...program seperti ini perlu diketengahkan ke peringkat kebangsaan supaya ia lebih meluas.

“Selain itu, saya juga sarankan agar penjawat awam wanita ini menyertai kesatuan pekerja mengikut sektor mereka atau berhubung dengan rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam supaya mereka boleh jadikan tempat untuk mengadu dan meluah (perasaan) sekiranya mereka tidak selesa untuk meluah kepada majikan,” katanya.

Seminar anjuran bersama Cuepacs Negeri Sembilan dan Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Sembilan di Politeknik Port Dickson itu bertujuan membantu wanita dalam memahami situasi serta jenis-jenis perlakuan yang diklasifikasikan sebagai gangguan seksual.

- Bernama

Lihat Komen
ADS