Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Siapa pemimpin zalim Umno paksa Najib letak jawatan’

Persatuan Sahabat Ulul Amri (PSUAM) hari ini mendedahkan yang Najib Razak ‘dipaksa’ meletak jawatan sebagai presiden Umno selepas BN tewas pada pilihan raya umum (PRU14).

Presiden PSUAM, Syed Muhammad Imran Sn Syed Abdul Aziz bagaimanapun tidak mendedahkan pemimpin yang memberi tekanan terhadap Najib itu.

“Beliau (Najib) pada awalnya dikatakan ingin bercuti dulu, tetapi siapa pemimpin Umno yang zalim memaksa Najib melepaskan jawatan sebagai presiden Umno.

“Apakah kemesraan yang dipaparkan dalam gambar hanya sekadar lakonan, sebab pada asalnya Najib tidak mahu melepaskan jawatan (presiden Umno),” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Najib melepaskan jawatan presiden Umno pada 12 Mei lalu sebagai tanggungjawab seorang pemimpin apabila parti itu kecundang dalam pilihan raya umum.

Jawatan itu kemudiannya dipangku Ahmad Zahid Hamidi sebelum beliau memenangi jawatan presiden Umno pada pemilihan yang diadakan beberapa bulan kemudian.

Dalam pada itu PSUAM yang terdiri daripada ahli Umno turut mencadangkan supaya Najib dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dilantik sebagai pengerusi 1 dan 2 parti itu.

Selain itu, ia turut mencadangkan supaya Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin dilantik sebagai timbalan pengerusi 1 dan 2 dalam jawatankuasa berkenaan.

Syed Muhammad Imran berkata, cadangan itu dikemukakan memandangkan keempat-empat tokoh berkenaan masih diperlukan sumbangan mereka bagi mengembalikan kegemilangan Umno.

“Tujuan pindaan ini diadakan kerana kami tidak nampak hala tuju Umno, apa yang membimbangkan pemimpin Umno mula ke (lompat) parti lain.

“Hanya presiden Umno boleh memanggil untuk mengadakan perhimpunan agung khas berdasarkan fasal 8.5 perlembagaan Umno,” katanya.

Lihat Komen
ADS