Mahfuz terkejut dakwaan gaji pekerja Scomi tertunggak
Kementerian Sumber Manusia terkejut dengan dakwaan sekumpulan pekerja syarikat kejuruteraan, Scomi Engineering Bhd tidak dibayar gaji selama enam bulan secara kumulatif.
Timbalan Menterinya Mahfuz Omar berkata tunggakan gaji dari majikan bagi satu tempoh yang lama merupakan kesalahan Akta Pekerja di bawah Seksyen 19.
"Saya telah meneliti sidang media yang dilakukan oleh pekerja Scomi Engineering Bhd pagi tadi dan saya sangat terkejut," katanya lapor Astro Awani.
Pagi tadi, sekumpulan pekerja dari syarikat tersebut mengadakan sidang media berhubung isu tersebut, dimana mereka menuntut supaya syarikat induknya mengambil perhatian terhadap tindakan anak syarikatnya.
Dilaporkan, terdapat sebahagian pekerja syarikat itu dalam nasib yang terumbang-ambing sehingga terpaksa mencari rezeki dengan melakukan kerja sambilan seperti memotong rumput dan bekerja dengan syarikat e-hailing.
Penstrukturan semula kewangan syarikat
"Gaji juga seharusnya dibayar mengikut akta ini tidak lebih daripada 7 hari bulan. Pekerja tak perlu tunggu sampai tempoh enam bulan untuk buat aduan," kata Mahfuz.
Tambah Mahfuz, beliau mendapati syarikat tersebut mempunyai beberapa kesalahan lain yang tidak boleh menerima yang dilakukan oleh syarikat tersebut seperti tidak membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Perkeso.
"Saya telah dimaklumkan mereka telah pun membuat aduan di Pejabat JTK (Jabatan Tenaga Kerja) Rawang. Jadi 26 hari bulan itu adalah satu proses yang akan dibuat mengikut prosedur undang-undang.
"Cuma yang malangnya, Scomi Engineering ini tidak mempunyai kesatuan pekerja. Itu agaknya mereka terpaksa bertindak sendiri. Jadi kita harus lihat apakah sebenarnya halangan yang menyebabkan tidak wujudnya Kesatuan Pekerja di situ," katanya.
Bagaimanapun, Scomi Group Sdn Bhd hari ini mengakui pihaknya kini sedang melaksanakan penstrukturan semula kewangan syarikat bagi mengkuhkan kedudukan kewangan mereka.

