Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
MP pembangkang sokong asing kuasa pendakwaan dari AGC

Mungkin Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad patut mengetepikan kesangsiannya untuk meneruskan cadangan pemisahan fungsi pendakwa raya dan peguam negara di Dewan Rakyat.

Nampaknya, perwakilan pembangkang juga menyokong pemisahan kuasa yang turut dimuatkan dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH) itu.

Timbalan presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PAS sememangnya mengalu-alukan cadangan tersebut.

Ketika ditanya jika PAS tiada masalah memberikan undian bagi mencapai suara dua pertiga dewan, Tuan Ibrahim menyatakan sokongannya.

“Bagi PAS, kita pun memperjuangkan benda yang sama.

“Sebenarnya sepatutnya dah lama berjalan, supaya ada pemisahan kuasa. Dan kita harapkan dengan perubahan kepimpinan kerajaan ini, dapat dibuktikanlah perubahan tersebut,” katanya kepada pemberita di parlimen hari ini.

Usul tak lepas libatkan imej, maruah

Bagaimanapun, katanya, beliau memahami jika Dr Mahathir mungkin terpaksa mengambil kira pelbagai faktor sebelum membawa cadangan itu ke Dewan Rakyat.

“Saya fikir perdana menteri mengambil banyak faktor, sebab (bila) kerajaan bawa usul, kalau usul itu tak lepas di parlimen, dia (melibatkan) imej dan maruah.

“Keduanya, mungkin ada keutamaan yang dilihat oleh Dr Mahathir, tapi bagi kita, kita menyambut baik soal pemisahan kuasa (ini),” tambahnya lagi.

Terdahulu, timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Hanipa Maidin berkata pindaan perlembagaan bagi merealisasikan pengasingan kuasa itu dapat dilakukan jika pihak pembangkang sanggup menyatakan sokongan padu mereka.

Sementara itu, Anggota Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman yang terkenal dengan sikap suka membangkang di parlimen, turut menyatakan sokongannya terhadap pengasingan kuasa itu.

“Kalau diasingkan (kuasa), maknanya lebih bebaslah. Kalau satu orang berkuasa sangat, dialah menyiasat, dialah menghukum, saya rasa tak sesuailah.

“Pengasingan tu saya rasa kita patut sokonglah,” katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS