Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Timb speaker tak setuju pusat urut refleksologi di parlimen

PARLIMEN | Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming tidak bersetuju dengan cadangan membuka pusat urut kaki atau refleksologi di parlimen.

"Parlimen institusi tertinggi di dalam negara. Tidak pernah terbayang dan saya terkejut mendengar cadangan sebegini datang dari MP untuk membuka pusat urut di parlimen.

"Semua pihak, terutamanya MP perlu menunjukkan hormat yang tinggi kepada parlimen, tempat dasar kerajaan dan undang-undang digubal.

"Anggota parlimen perlu menunjukkan tauladan dan bukan sebaliknya," kata Nga kepada Malaysiakini.

Nga mengulas cadangan Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) awal hari ini untuk menukar bilik merokok di parlimen menjadi pusar urut melibatkan Orang Kurang Upaya (OKU).

Azeez bercakap ketika Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong menggulung perbahasan Belanjawan 2019 pada peringkat jawatankuasa.

Bagaimanapun, menteri undang-undang berkata blok baru akan dibina di parlimen yang mempunyai kemudahan kesihatan.

“Jadi tak semestinya kita mesti urut badan kita untuk kesihatan,” katanya.

Azeez lantas menyampuk dengan berkata beliau merujuk kepada urut kaki, bukan urut badan.

Enggan mengalah, Liew berkata urut kaki sahaja tidak cukup dan anggota parlimen juga harus bersenam untuk kekal sihat.

“Bersenam dan pastikan kita menggunakan alat-alat sukan,” katanya.

Lihat Komen
ADS