Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan cuba mengelak menjadikan sekolah, terutama pusat peperiksaannya, sebagai pusat pemindahan mangsa banjir.

Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pelaksanaan Operasi NADMA, Zakaria Shaaban berkata ini kerana ia tidak mahu mengganggu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang sedang berjalan.

"Pada musim peperiksaan ini kalau boleh kita tidak akan gunakan sekolah sebagai pusat pemindahan banjir. Memang kalau boleh, kita cuba elakkan dan cari alternatif lain, tetapi dalam kes-kes tidak ada alternatif lain maka kita terpaksa menggunakan juga sekolah yang terlibat.

"Kita sudah pun meminta Kementerian Pendidikan untuk menyelaras perkara ini sekiranya pusat pemindahan itu melibatkan pusat peperiksaan. Maknanya kita kena asingkan atau jauhkan pusat peperiksaan itu dari pusat pemindahan itu. Mungkin pusat pemindahan itu di tingkat bawah ataupun kawasan yang tidak mengganggu. Perkara itu telah pun dibincangkan dan diambil kira," katanya kepada pemberita di Seremban semalam.

Beliau sebelum itu merasmikan majlis penutup Latihan Pengurusan Pengoperasian Bencana peringkat Negeri Sembilan 2018 anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis negeri Datuk Mohamad Mat Yusop dan Pengarah APM negeri Left Kol Pertahanan Awam Fazlisyah Muslim.

Katanya jika ada alternatif lain, ia akan digunakan sebagai pusat pemindahan seperti balai raya, sekolah rendah, masjid, dewan orang ramai dan lain-lain.

"Saya difahamkan Kementerian Pendidikan juga sudah ada pelan kontigensinya sendiri. Jika berlaku banjir, mereka mempunyai perancangan untuk pindahkan ke pusat peperiksaan yang baharu dan sebagainya," katanya.

Mengenai haiwan ternakan yang juga perlu diselamatkan ketika banjir, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah pun menyelaraskan perkara ini dan sedang bangunkan prosedur operasi standard (SOP).

"Perkara ini telah pun dibincangkan di peringkat pusat dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar pun ada membentangkannya pada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat mengenai pelan tindakan sekiranya berlaku. Selain menyelamatkan nyawa manusia dan harta benda, kita juga fokus untuk menyelamatkan haiwan ternakan kerana ia melibatkan jumlah kerugian yang agak besar, " katanya.

Seramai 200 peserta dari 41 jabatan dan agensi kerajaan menyertai latihan selama dua hari itu.

- Bernama