Semua pihak diminta agar tidak menyebarkan khabar angin Melaka menghadapi fenomena “air termenung” berikutan banjir di Alor Gajah masih belum surut meskipun masuk hari keempat.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata banjir belum surut disebabkan faktor tanah lembap dipercayai berpunca daripada hujan yang kembali turun di kawasan terbabit antara 2 pagi dan 7 pagi tadi.

"Faktor lain disebabkan kedudukan kediaman penduduk terletak di kawasan rendah, sebab itu, 262 penduduk terjejas dari Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Pulau masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Belimbing Dalam, Alor Gajah.

"Sehingga kini, cuaca di seluruh negeri juga dilaporkan mendung dan kadangkala hujan di beberapa kawasan," kata Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kepada Bernama semalam.

Pada Isnin lepas, lebih 15 kampung terjejas kerana ditenggelami air kira-kira satu meter akibat hujan lebat yang berterusan selama empat jam bermula 1.30 pagi.

-Bernama