MCA: Kata dua kepada universiti milik MCA adalah dendam politik
Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon berkata kata dua Menteri Kewangan Lim Guan Eng kepada dua institusi pengajian tinggi swasta milik MCA adalah satu bentuk dendam politik terhadap parti itu.
Mah berkata pelajar di dua institusi itu akan menjadi mangsa ekoran laporan tuntutan Lim supaya Kolej Universiti Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR)memutuskan hubungan dengan MCA sebagai satu syarat untuk layak mendapatkan bantuan kerajaan pada 2020.
"Menteri Kewangan Lim Guan Eng membuat ugutan terbuka dan mengkompromi hak pelajar Cina pada masa bila dia berkata untuk membolehkan TAR UC dan UTAR mendapatkan bantuan kerajaan pada tahun 2020, mereka tidak boleh dimiliki oleh MCA.
"Kenyataan ugutan beliau itu di Parlimen bahawa MCA mesti memutuskan hubungan dengan kedua-dua institusi itu sebelum kerajaan dapat pertimbangkan sebarang peruntukan adalah tidak lain daripada dendam politik dan kali ini, mangsanya adalah pelajarUTAR dan TAR UC sendiri," kata Mah dalam satu kenyataan.
Beliau seterusnya mendakwa Lim menutup mata terhadap nasib pelajar berkenaan, ramai daripadanya datang dari keluarga yang mempunyai kedudukan kewangan yang lemah dan mendapat faedah daripada yuran yang berpatutan yang ditawarkan oleh kedua-dua institusi tersebut.
Mah, yang juga Timbalan Pengerusi MCA Perak, menegaskan bahawa kedua-dua institusi itu telah menghasilkan puluhan ribu graduan berbakat sejak penubuhannya, terutamanya selepas TAR UC mendapat status kolej universiti pada tahun 2013.

