Pemuda PH hargai peruntukan untuk sekolah agama rakyat
Pemuda Pakatan Harapan (PH) Terengganu menghargai inisiatif Kementerian Pendidikan untuk memberi peruntukan tambahan kepada sekolah agama rakyat (SAR) dan sekolah agama persendirian dalam belanjawan 2019.
Ketua Pemuda PH Terengganu Hasbie Muda berkata peruntukan tambahan ini membuktikan kerajaan baru tidak mengabaikan mana-mana institusi pendidikan untuk mendapat pembelaan sewajarnya.
"Penyaluran segera peruntukan tambahan amat penting memandangkan sebahagian SAR tidak mempunyai kemudahan infrastruktur memuaskan di samping berdepan masalah kekurangan dana.
"Pemuda Pakatan Harapan Terengganu berharap usaha ini dapat direalisasikan agar tiada lagi pelajar dari mana-mana institusi tidak mendapat menjalani sesi pembelajaran dengan baik," katanya dalam kenayatan.
Menurutnya Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berjaya membuktikan kejayaannya membela para guru dan pelajar dalam tempoh enam bulan mengambil alih kementerian itu, meskipun menjadi sasaran utama ramai pihak yang mahu menggambarkan kelemahan beliau.
Semalam Maszlee berkata kementeriannya akan berusaha memberi peruntukan kepada SAR dan sekolah agama persendirian dalam belanjawan tambahan kelak.
Beliau berkata kedua-kedua jenis sekolah berkenaan tidak termasuk dalam kategori sekolah pondok dan sekolah tahfiz tetapi merupakan sekolah agama yang menggunakan kurikulum kebangsaan dan ada tambahan pelajaran agama.

