'Saya terima arahan polis jangan jentik dia'
Seorang pemimpin Umno Perak menafikan dirinya mengugut dan menyekat perjalanan setiausaha politik kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy seperti dalam rakaman video yang tular di media sosial.
Ahli jawatankuasa Umno bahagian Tapah Syed Afzarizal Syed Salim berkata beliau akur arahan polis supaya tidak mengapa-apakan P.Muniandy semasa kejadian pada Isnin lalu.
“Saya menerima juga arahan daripada polis (supaya) jangan jentik, bagi surat saja.
“Saya bagi jaminan tidak akan jentik, hanya bagi surat saja," katanya seperti dilapor The Malaysian Insight.
Syed mendakwa beliau juga tidak menghalang kereta dinaiki P Muniandy seperti ditunjukkan dalam video semasa kejadian dan polis juga memberi amaran akan menahan beliau jika mengasari pegawai itu.
“Saya bukan halang kereta. Saya tunggu di depan pagar untuk menyerahkan nota bantahan. Dia acah-acah hendak jalan terus, (jadi saya tetap) berdiri depan pagar,” katanya.
Nota berkenaan adalah bantahan kepada Waytha Moorthy yang mencadangkan agar kerajaan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Dalam video sepanjang 5 minit itu, Syed dan beberapa individu lain dilihat berdiri di hadapan pagar meminta Muniandy turun daripada kereta untuk beliau menyerahkan nota itu.
Syed juga dilihat meminta Muniandy menyampaikan amaran kepada Waytha Moorthy dengan berkata : “Cukup sejarah hitam 13 Mei 1969. Jangan ada berlaku lagi perkara yang bukan-bukan.”
Kejadian itu dilapor berlaku di pintu hadapan SK Datuk Kelana di Tapah selepas pegawai menteri tersebut menghadiri sebuah program di situ.
Susulan kejadian itu, Muniandy membuat laporan polis di balai polis Jalan Travers malam tadi.
Mengulas laporan polis berkenaan, Syed menegaskan beliau akan memberi kerjasama penuh kepada polis dan turut membuat laporan pada hari kejadian.
“Saya pun telah buat laporan polis pada hari kejadian yang mengatakan bahawa saya tidak mengugut atau tidak buat apa-apa.
“Saya pun ada bukti yang saya simpan. (Terdapat) video yang diedit oleh pihak tidak bertanggungjawab, video penuh saya ada,” katanya.

