Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan tutup semua biro, loji percetakan di T'ganu
Diterbitkan:  Nov 23, 2018 11:20 AM
Dikemaskini: 3:20 AM

Akhbar berbahasa Melayu Utusan Malaysia mengumumkan penutupan operasi loji percetakannya di Gong Badak Terengganu dan semua pejabat biro negerinya berkuat kuasa 1 Disember.

Perkara itu diumumkan Pengerusi eksekutif Utusan Melayu (M) Bhd, Abd Aziz Sheikh Fadzir dalam satu memorandum kepada kakitangan akhbar itu sebagai sebahagian daripada usaha penstrukturan semula syarikat.

Aziz dalam memorandum pada 5 November lalu mengumumkan loji percetakan di Gong Badak dan dua biro di Kuching dan Kota Kinabalu akan ditutup.

Tiga hari selepas itu, Aziz dalam memorandum berasingan mengumumkan bahawa penutupan operasi itu melibatkan kesemua pejabat biro.

“Bagaimanapun, operasi harian kakitangan di biro akan berjalan seperti biasa yang mana akan dilaksana secara mobile,” kata ahli Parlimen Umno itu lagi.

Pada 15 Nov dilaporkan Utusan menjual sebidang tanah seluas 4,715 meter persegi di Jalan Chan Sow Lin di Kuala Lumpur kepada Strong Skyhutch Sdn Bhd berharga RM18 juta.

Kakitangan akhbar harian itu juga pernah melakukan piket kerana tidak dibayar gaji pada bulan Ogos dan September. 

Pada Ogos, Utusan mengumumkan bahawa ia gagal membayar pinjaman berjumlah RM1.18 juta.

Sebulan selepas itu, Utusan menawarkan skim pemisahan sukarela (VSS) kepada kira-kira 800 daripada 1,500 kakitanganya bagi menjimatkan kos.  

Akhbar itu menyaksikan edarannya menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan hanya bertahan daripada hasil langganan iklan syarikat milik kerajaan (GLC) sehinggalah Umno tewas pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

Dalam laporan tahunan Utusan pada tahun 2017, dinyatakan bahawa Umno memiliki kepentingan 49.77 peratus dalam akhbar itu. 

Pemegang saham yang lain ialah Nilam Setar (M) Sdn Bhd, yang dimiliki oleh hartawan Syed Mokthar Albukhary, dengan kepentingan 14.76 peratus.

Lihat Komen
ADS